Wednesday, June 18, 2008

Mukjizat Saintifik Al-Quran & As-Sunnah - Suatu Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mohon kemaafan dari tim kami kerana kesulitan untuk mengemas kini laman ini. Semoga Allah memberi taufik dan inayah kepada kita semua. Pada kali ini Mukjizat Saintifik akan mula membawa pembaca sekelian kepada topik sebenar kewujudan blog ini iaitu Membongkar Mukjizat Nabi. Sebelum itu ada baiknya kita mengetahui beberapa perkara bagi menambahkan lagi pemahaman kita terhadap mukjizat saintifik.

Allah telah menjadikan Agama sebagai wadah bagi menjelaskan kepada manusia pelbagai persoalan mengenai kehidupan dan matlamat kehidupan ini.Tanggungjawab menyampaikan Agama dan mengenalkan manusia dengan Penciptanya telah diberikan kepada wakil-wakil yang dipilih oleh Allah.Wakil-wakil Allah di muka Bumi adalah para Rasul -عليهم الصلاة والسلام- yang Allah wahyukan kepada mereka segala ajaran yang perlu disampaikan kepada manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (al-Nisa': 165)

Jadi, timbul persoalan sekarang bagaimanakah cara untuk kita mengenali utusan-utusan Allah?

Para Rasul yang diutuskan oleh Allah adalah manusia biasa seperti kita; mereka makan, minum, tidur, sakit dan berjalan seperti kita. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar," (al-Furqan: 20)

Manusia mempunyai kesukaran untuk patuh atau mempercayai sesuatu melainkan dengan bukti yang nyata. Tanpa bukti dan keterangan, dengan mudah manusia akan menolak untuk patuh dan taat.

Jika anda sedang memandu di jalan raya dan anda melihat tanda:

Lalu anda lihat salah seorang daripada dua orang yang di sebelah kiri dan kanan ini sedang menunggu, siapakah yang anda akan patuh dan mengapa???

Justeru itu Allah mengetahui para Rasul Nya akan didustai oleh manusia, maka Dia telah memperkuatkan mereka (para Rasul) dengan tanda-tanda untuk menjadi bukti bahawa mereka adalah utusan Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan" (al-Hadid:25)

Oleh itu, apakah tanda atau bukti yang menyatakan mereka adalah utusan Allah??? Tunggu siri yang akan datang...

Thursday, February 14, 2008

Matlamat Kehidupan - Siri Akhir

Assalamualaikum dan salam bahagia. Alhamdulillah kerana kesempatan dan ruang yang diizinkan oleh Allah kepada kami, maka dapatlah kami menyambung perbincangan yang berkisar kepada persoalan matlamat kehidupan.

Dari artikel-artikel lepas, kita mengetahui bahawa setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai tujuan dan matlamatnya. Dari seremeh-remeh benda hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Kita dapat mengetahui fungsi semut dan tujuan kehidupannya walaupun ia amat dibenci oleh suri rumah. Kita mula dapat memahami mengapakah lalang begitu galak tumbuh selepas hutan ditebas. Kita semua semakin menyedari kepentingan gunung berapi. Sistem tubuh manusia dalam anggota badan kita telah pun kita mengetahuinya secara umum. Hikmah puasa yang disyariatkan oleh Islam telah pun terbongkar. Kebenaran al-Quran pun telah terserlah. Persoalannya, hikmah dan matlamat kewujudan kita.

Kita semua telah meyakini bahawa kitab al-Quran adalah suatu kitab yang benar lagi suci dari segala kekurangan dan kesilapan. Namun ramai di kalangan kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang akan pemberitahuan Allah berkenaan dengan tujuan dan matlamat kehidupan manusia. Adakah kita semua pernah mengetahui akan ayat al-Quran yang bermaksud: walaupun letusannya menggerunkan hati.
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."!!!

Ya!!! Tujuan hidup kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan untuk beribadat kepada Allah. Ibadat??? Bagaimanakah cara beribadat? Adakah ibadat itu hanya yang asas sahaja?

Tunggu!!! Persoalan ini akan diungkap di siri akan datang...

Saturday, November 17, 2007

Matlamat Kehidupan - Semakin Hampir Jawapannya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiaman kembali kepada Matlamat Kehidupan. Para pembaca sekalian telah melalui beberapa pembongkaran yang telah dibuat dan diharap ianya dapat membantu kita dalam memilih utusan Pencipta yang manakah yang betul-betul asli dari Pencipta.

Kami dari Tim Mukjizat tidak berniat membongkar kesalahan dan pembohongan kitab-kitab samawi mutakhir yang telah direka-reka oleh penganut masing-masing, tetapi cukuplah menyatakan kebenaran mutlak yang terkandung dalam kitab utusan terakhir Pencipta alam ini. Kita semua telah didedahkan tentang kebenaran ayat kitab utusan terakhir Pencipta iaitu al-Quran berkenaan dengan puasa. Terdapat tiga pembongkaran yang berjaya dibuat berdasarkan kajian dan teknologi terkini.

Berdasarkan kepada tiga pembongkaran ini, adakah kita semua boleh menilai kitab manakah yang betul-betul mutlak dan terbukti kebenarannya? Adakah anda boleh membezakan di antara ketulinan dan kepalsuan kitab-kitab utusan Tuhan? Sekiranya kita betul-betul yakin dengan kitab al-Quran, maka matlamat kehidupan seorang manusia hampir menemui jawapan. Teruskan bersama kami untuk jawapan yang sudah lama terjawab...

Sunday, October 21, 2007

Tee Hui Yee dan Cellular Memory

Dikemaskini 5/9/2025

Latar belakang

Tee Hui Yee, seorang remaja perempuan Malaysia berusia 14 tahun, mengalami kegagalan jantung selepas dijangkiti virus ketika berusia dua tahun. Beliau bergantung kepada jantung mekanikal selama lebih setahun sebelum menerima transplantasi jantung sebenar. Transplantasi pertama gagal akibat penolakan organ, manakala transplantasi kedua berjaya dengan pemulihan pesakit yang memberangsangkan. Kes ini menonjolkan kepentingan teknologi perubatan moden, pemantauan klinikal rapi, serta sokongan emosi dan keluarga.


Transplantasi Jantung dan Risiko Klinikal

  • Transplantasi pertama gagal, menunjukkan risiko tinggi dalam prosedur transplantasi jantung, termasuk penolakan organ.
  • Transplantasi kedua berjaya, dengan indikator pemulihan termasuk kemampuan Tee menggerakkan anggota badan dan fungsi jantung normal.
  • Kedua-dua penerima organ (Tee dan penerima paru-paru) berada dalam keadaan kritikal selepas pembedahan, menunjukkan perlunya pemantauan klinikal rapi pasca-transplantasi.

Konsep Memori Sel (Cellular Memory)

Memori sel merujuk kepada teori bahawa sel-sel tubuh, termasuk jantung, boleh menyimpan pengalaman, emosi, atau “memori” tertentu daripada pemilik asal. Dalam konteks transplantasi jantung, beberapa kajian anekdot melaporkan penerima transplantasi mungkin mengalami perubahan personaliti, citarasa makanan, atau emosi yang seolah-olah berkait dengan penderma organ.


Perspektif Sains Moden

Sains moden menilai cellular memory melalui beberapa sudut:

  • Epigenetik: Kajian menunjukkan trauma atau pengalaman hidup boleh mengubah ekspresi gen tanpa mengubah DNA, dan kesan ini boleh diwarisi.
  • Psikosomatik: Emosi memberi kesan langsung kepada tubuh. Stres kronik, misalnya, boleh menyebabkan penyakit jantung atau gangguan hormon.
  • Pemindahan Organ: Laporan anekdot mendedahkan penerima organ (khususnya jantung) mengalami perubahan minat, mimpi, atau tabiat yang menyerupai penderma.

Namun, sains moden menghadapi beberapa kelemahan:

  • Bukti empirik masih terhad kepada kes individu.
  • Neurosains menegaskan otak tetap pusat utama memori.
  • Faktor psikologi dan sugesti sukar dipisahkan daripada bukti biologi.

Perspektif Islam

Islam melihat emosi dan memori tidak hanya berpusat pada otak, tetapi juga melibatkan hati (qalb) dan seluruh tubuh:

  • Qalb sebagai pusat kefahaman dan emosi: Al-Quran menyatakan, “Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj: 46).
  • Tubuh sebagai saksi amal: Pada Hari Kiamat, anggota tubuh akan bersaksi atas segala perbuatan manusia (Yasin: 65). Ini menunjukkan tubuh menyimpan rekod yang tidak terhapus.
  • Warisan trauma dan ujian: Konsep qadar dan fitrah mengiktiraf kewujudan kecenderungan yang diwarisi. Hal ini beriringan dengan penemuan sains tentang epigenetik.
  • Pemindahan organ: Walaupun Islam membenarkan pemindahan organ atas darurat, roh dan identiti manusia tidak berpindah bersama organ.


Hubungkait kepada Kes Tee Hui Yee

Tee menerima jantung dari seorang remaja lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan. Walaupun tiada bukti saintifik kukuh bahawa memori sel berlaku secara konsisten, fenomena ini menjadi perhatian dalam pemantauan psikologi penerima transplantasi.

Kes Tee boleh menjadi kajian kes untuk memahami kesan psikologi pasca-transplantasi dari perspektif teori memori sel, termasuk bagaimana perubahan emosi atau perasaan penerima mungkin dipengaruhi oleh organ baharu.


Kesimpulan

Kes Tee Hui Yee menonjolkan gabungan kejayaan teknologi perubatan, cabaran emosi dan sosial, isu etika pendermaan organ, serta kemungkinan fenomena memori sel.

Dari segi teori saintifik: konsep memori sel membuka ruang kajian mengenai kesan psikologi dan potensi perubahan emosi atau personaliti penerima transplantasi.

Kes Tee Hui Yee boleh dijadikan rujukan akademik untuk kajian perubatan, psikologi transplantasi, etika perubatan, dan fenomena memori sel dalam konteks Malaysia.

Rujukan
https://www.malaysiakini.com/news/73309

https://www.malaysiakini.com/news/73250

Liester, M. B. (2020). Personality changes following heart transplantation. PubMed. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31739081/

Chou, P. C. (2024). Mechanisms of Epigenetic Inheritance in Post-Traumatic Stress Disorder. PubMed Central. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10817356/

Yehuda, R. (2018). Intergenerational transmission of trauma effects. PubMed Central. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6127768/

Mohamed, Y. (2020). Perspectives on Islamic Psychology: al-Raghib al-Isfahani on the Healing of Emotions in the Qur'an. Yaqeen Institute. https://yaqeeninstitute.org/read/paper/perspectives-on-islamic-psychology-healing-of-emotions-in-the-quran

Abdul-Rahman, Z. (2017). Islamic Spirituality and Mental Well-Being. Yaqeen Institute. https://yaqeeninstitute.org/read/paper/islamic-spirituality-and-mental-well-being

Saturday, September 29, 2007

Bongkar 3

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada episod lalu Mukjizat Saintifik memperkatakan kebaikan yang ada pada amalan berpuasa berdasarkan kepada ayat ke 184 dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: "dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui." Pada kali ini Mukjizat Saintifik akan memperkatakan satu lagi pembongkaran berdasarkan kepada kalam atau pun sabda Nabi yang yang di utus oleh Tuhan untuk menyampaikan al-Quran. Sabdanya bermaksud:

"Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia adalah penyuci." (Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)

Timbul persoalan di sini, mengapa perlu tamar sebagai santapan pertama ketika berbuka puasa? Jawapannya ada pada buku "Puasa, Hikmah dan Hukum menurut Islam dan Perspektif Sains Moden" karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani. Mari kita sama-sama telusurinya.


Dalam muka surat 32 ada dinyatakan rahsia berbuka puasa dengan tamar. Ianya berbunyi:
"Tamar dikira makanan yang paling kaya dengan gula glukosa. Oleh itu, ia dikira sebagai makanan terbaik yang dibekalkan kepada tubuh pada ketika itu. Ia mengandungi kadar nisbah gula yang tinggi yang berkitar di antara 75-87% iaitu 55% glukosa dan fruktosa sebanyak 45%. Fruktosa akan bertukar kepada glukosa dengan kecepatan yang tinggi dan ia akan diserap secara langsung melalui sistem penghadaman bagi melegakan kehausan tubuh.Begitu juga vitamin-vitamin yang terkandung dalam tamar. Kesemuanya mempunyai peranan yang aktif terhadap proses pembentukan makanan dan ia juga mempunyai kesan penenang terhadap saraf-saraf."

Jelas sekali sabda Rasul utusan Tuhan. Kebenarannya terbukti oleh eksperimen sains yang dilakukan di zaman ini. Sedangkan ketika sabda itu berlangsung, tiada langsung peralatan yang bertujuan untuk mengkaji khasiat tamar. Benar sekali sabda Rasul adalah wahyu Tuhan, Pencipta buah tamar dan sekalian alam.

Teruskan bersama kami untuk pembongkaran yang lebih mendebarkan...


Monday, September 17, 2007

Bongkar 2

Pada episod lepas, Mukjizat Saintifik membongkar hikmah disebalik pensyariatan puasa. Mukjizat Saintifik juga ada mendedahkan "kebaikan" dalam amalan berpuasa seperti mana yang ditegaskan dalam ayat al-Quran. Hikmah dan kebaikan berpuasa ada kaitan dengan penyingkiran bahan-bahan toksik dalam tubuh serta peningkatan kadar metabolisme kepada mereka yang berpuasa. Episod kali ini, Mukjizat Saintifik akan mendedahkan dua lagi hikmah dan kebaikan di sebalik amalan berpuasa.

Menurut buku
Puasa, Hukum dan Hikmah menurut Islam dan Perspektif Sains Moden karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani, terbitan Teguh Iman Resources, puasa boleh menyebabkan berlakunya pembaharuan sel. Sel-sel yang ada dalam tubuh manusia sentiasa bertukar ganti. Apabila berlaku kematian sel, sel baru akan terbentuk dan proses ini sentiasa berlaku selagi manusia tadi bernyawa. Bilangan sel yang mati dalam satu saat mencecah sehingga 125,000,000 sel dan jumlah sel pengganti melebihi dari sel yang mati itu. Asid amino yang merupakan elemen penting dalam pembentukan sel dalam tubuh manusia menjadi semakin aktif disebabkan amalan berpuasa. Oleh demikian pembaharuan sel menjadi semakin cepat dan sempurna.

Selain itu puasa juga boleh
mencegah seseorang itu daripada penuaan. Menurut sebuah majalah Britain yang berjudul Nature telah mendedahkan tentang kajian saintifik yang menunjukkan bahawa berlapar yang terancang atau separa (puasa); akan membawa kepada kecergasan gen-gen yang bertanggungjawab merembes hormon-hormon yang akan membantu sel-sel menentang proses penuaan terhadap manusia serta akan menambah keaktifan dan kecergasan tubuh.

Kajian tersebut juga telah menjelaskan bahawa puasa separa daripada makanan dan berlapar yang terancang boleh membawa kepada tindak balas yang menjadikan sel-sel menentang kematian dan hidup untuk jangka masa yang lebih panjang. Dalam erti kata lain, puasa boleh dijadikan sebagai ajen kepada awet muda.

Nantikan pembongkaran seterusnya. Teruskan bersama kami...

Thursday, September 6, 2007

Bongkar 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada episod lalu, Mukjizat Saintifik ada memperkatakan tentang kebaikan yang terdapat pada amalan berpuasa. Perkara ini ditegaskan dalam kitab al-Quran yang merupakan "manual user" manusia yang disediakan Tuhan Pencipta manusia, kepada manusia.


Apakah kebaikan yang ada pada amalan berpuasa itu? Jawapannya ada pada ujikaji yang telah dijalankan oleh saintis barat. Satu uji kaji yang dijalankan terhadap manusia dan anjing di makmal biologi Universiti Chicago yang mana banyak dari hasil kajiannya dimuatkan di dalam Journal of Metabolic Research, telah menunjukkan bahawa berpuasa bagi jangka masa 30-40 hari akan menyebabkan kadar metabolisme bertambah sebanyak 5-6%.

Dr. Mac Fedan; beliau adalah dari kalangan ahli perubatan antarabangsa yang mengambil berat dalam kajian puasa dan kesan-kesannya berkata: “Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekalipun dia tidak sakit; kerana toksin-toksin makanan dan ubat berkumpul di dalam tubuh lalu menjadikannya seperti orang yang sakit dan memberatkannya, maka kecergasannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin berkenaan dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak dialami sebelum itu”

Anda teruja? Teruskan bersama kami untuk membongkar kebaikan berpuasa. Maklumat di atas adalah petikan dari buku terjemahan terbitan tim Mukjizat Saintifik yang berjudul "Puasa, Hikmah dan Hukum menurut Islam dan Perspektif Sains Moden" karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani.