Wednesday, January 1, 2025

Cellular Memory dan Kesan Terhadap Emosi: Analisis Kritis dari Perspektif Sains Moden dan Islam

Abstrak

Artikel ini membincangkan konsep cellular memory atau memori sel, iaitu hipotesis bahawa sel tubuh mampu menyimpan pengalaman dan emosi, bukan hanya otak. Walaupun sains moden masih memperdebatkan kesahihannya, terdapat bukti awal melalui kajian epigenetik, psikosomatik, dan laporan penerima organ. Dalam Islam, konsep tubuh menyimpan rekod amal dan hati (qalb) sebagai pusat emosi serta kefahaman memberi dimensi spiritual yang memperkukuh idea tersebut. Artikel ini menganalisis kedua-dua perspektif secara kritis, menilai kekuatan, kelemahan, dan implikasi terhadap kefahaman manusia mengenai hubungan tubuh, emosi, dan spiritualiti.


Pendahuluan

Memori lazimnya dikaitkan dengan otak sebagai pusat penyimpanan maklumat. Namun, teori cellular memory mencabar tanggapan ini dengan menyatakan bahawa pengalaman emosi, trauma, dan ingatan tertentu boleh tersimpan dalam sel tubuh. Perbahasan ini semakin mendapat perhatian dalam bidang neurosains, psikologi, dan perubatan alternatif, khususnya selepas muncul laporan pesakit pemindahan organ yang mengalami perubahan personaliti.


Dari sudut Islam, konsep tubuh sebagai penyimpan rekod amal telah disebut dalam al-Quran dan hadis. Justeru, kajian silang disiplin antara sains moden dan Islam dapat membuka horizon baharu dalam memahami hakikat manusia.


Perspektif Sains Moden

Sains moden menilai cellular memory melalui beberapa sudut:


Epigenetik: Kajian menunjukkan trauma atau pengalaman hidup boleh mengubah ekspresi gen tanpa mengubah DNA, dan kesan ini boleh diwarisi.


Psikosomatik: Emosi memberi kesan langsung kepada tubuh. Stres kronik, misalnya, boleh menyebabkan penyakit jantung atau gangguan hormon.


Pemindahan Organ: Laporan anekdot mendedahkan penerima organ (khususnya jantung) mengalami perubahan minat, mimpi, atau tabiat yang menyerupai penderma.


Namun, sains moden menghadapi beberapa kelemahan:


Bukti empirik masih terhad kepada kes individu.


Neurosains menegaskan otak tetap pusat utama memori.


Faktor psikologi dan sugesti sukar dipisahkan daripada bukti biologi.


Perspektif Islam

Islam melihat emosi dan memori tidak hanya berpusat pada otak, tetapi juga melibatkan hati (qalb) dan seluruh tubuh:


Qalb sebagai pusat kefahaman dan emosi: Al-Quran menyatakan, “Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj: 46).


Tubuh sebagai saksi amal: Pada Hari Kiamat, anggota tubuh akan bersaksi atas segala perbuatan manusia (Yasin: 65). Ini menunjukkan tubuh menyimpan rekod yang tidak terhapus.


Warisan trauma dan ujian: Konsep qadar dan fitrah mengiktiraf kewujudan kecenderungan yang diwarisi. Hal ini beriringan dengan penemuan sains tentang epigenetik.


Pemindahan organ: Walaupun Islam membenarkan pemindahan organ atas darurat, roh dan identiti manusia tidak berpindah bersama organ.


Kesimpulan

Konsep cellular memory masih bersifat hipotesis dalam sains moden, namun epigenetik dan psikosomatik memberi bukti sokongan yang semakin berkembang. Islam pula telah lebih awal menegaskan bahawa hati dan tubuh mempunyai peranan dalam menyimpan rekod emosi serta amal. Dengan itu, cellular memory dapat dilihat sebagai titik temu antara penemuan sains moden dengan pandangan Islam mengenai hubungan tubuh, emosi, dan spiritualiti manusia.


Kajian lanjut diperlukan, bukan sahaja dari sudut biologi tetapi juga teologi, bagi membina kefahaman holistik tentang hakikat diri manusia.


Rujukan

Liester, M. B. (2020). Personality changes following heart transplantation. PubMed. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31739081/

Chou, P. C. (2024). Mechanisms of Epigenetic Inheritance in Post-Traumatic Stress Disorder. PubMed Central. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10817356/

Yehuda, R. (2018). Intergenerational transmission of trauma effects. PubMed Central. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6127768/

Mohamed, Y. (2020). Perspectives on Islamic Psychology: al-Raghib al-Isfahani on the Healing of Emotions in the Qur'an. Yaqeen Institute. https://yaqeeninstitute.org/read/paper/perspectives-on-islamic-psychology-healing-of-emotions-in-the-quran

Abdul-Rahman, Z. (2017). Islamic Spirituality and Mental Well-Being. Yaqeen Institute. https://yaqeeninstitute.org/read/paper/islamic-spirituality-and-mental-well-being

Wednesday, August 14, 2024

Kepentingan Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī

Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī telah mengubah dimensi dan perspektif para ulama terhadap al-I‘jāz al-‘Ilmī.
 
Walau bagaimanapun dalam keghairahan sesetengah penulis tentang kajian al-I‘jaz al-‘Ilmī yang kurang peka terhadap kepentingan kaedah-kaedah al-I‘jaz al-‘Ilmī telah menyebabkan mereka tersasar daripada memahami konsep sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.
 
Kesan penulisan yang tersasar ini bukan sahaja mencemarkan imej Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap wahyu, bahkan boleh mengaburkan bukti kebenaran agama Islam untuk manusia pada zaman ini.
 
Oleh sebab itu, perlu perlu difahami definisi al-I‘jaz al-‘Ilmī supaya perbahasan dan kajian yang dilakukan tidak lari daripada skop dan fokus sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Monday, August 14, 2023

Pendirian Ulama Terhadap al-Tafsīr al-‘Ilmī dan al-I‘jaz al-‘Ilmī

Secara ringkasnya para ulama Islam yang membahaskan tentang al-Tafsīr al-‘Ilmī di dalam al-Quran terbahagi kepada dua kumpulan;

Kumpulan pertama : mengharuskan pentafsiran ilmiah terhadap al-Quran, menyeru ke arahnya, melihatnya sebagai satu lembaran baru dan merupakan satu reformasi jalan dakwah kepada Allah SWT serta sebagai petunjuk ke jalan Allah SWT. Kumpulan kedua : berpendapat pentafsiran jenis ini telah mengeluarkan al-Quran daripada objektif sebenar penurunannya, melibatkannya dalam perkara    yang merupakan logik akal manusia semata-mata, serta menjadikannya medan ujian yang ada kalanya benar dan salah.

Dalam perkembangan lain, ketika membicarakan tentang al-I‘jaz al-‘Ilmī, tidak berlaku pertentangan pendapat yang ketara dalam kalangan ulama bahkan majoriti ulama Islam hampir sepakat menyatakan penerimaan mereka terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī. Hal ini berlaku disebabkan adanya usaha menggariskan kaedah menjadikan al-I‘jaz al-‘Ilmī satu bidang ilmu baru yang khusus berdasarkan disiplin, syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu yang telah disepakati. Lebih- lebih lagi, kaedah ini bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Sunday, August 14, 2022

Pengenalan Mukjizat al-Quran Menurut al-Zindanī

Agama Islam keseluruhannya bergantung kepada ajaran Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengutuskan para rasul untuk mengajar manusia mengenali Tuhan mereka, menyeru mereka supaya beribadat kepadaNya dan menerangkan hikmah penciptaan mereka. Begitu juga untuk menyelamatkan mereka daripada kecelakaan perselisihan, menegakkan agama Allah SWT dalam kalangan manusia dan berhukum berdasarkan wahyu Allah SWT.

Para rasul juga diutuskan untuk menyampaikan berita gembira tentang nikmat yang Allah SWT sediakan kepada orang mukmin dan memberi amaran tentang balasan azab kepada orang kafir kerana kekufuran mereka. Begitu juga untuk menegakkan hujah Tuhan ke atas manusia dan supaya para rasul menjadi teladan kepada orang yang beriman.

Akan tetapi, para rasul utusan dalam dakwah mereka akan berhadapan dengan penentangan manusia sebagaimana yang telah dihadapi oleh semua rasul. Selagi kebenaran para rasul tidak dibuktikan, maka hujah ke atas manusia tidak dapat ditegakkan dan manusia akan mempunyai alasan untuk menolak risalah yang dibawa oleh para rasul. 

Allah SWT Maha Mengetahui perkara tersebut, lalu Allah SWT juga mengurniakan kepada para rasul bukti dan dalil yang di namakan ayat atau bayyinat. Manusia pula menamakannya sebagai mukjizat. Mukjizat ini menjadi bukti kepada para rasul tentang kebenaran risalah yang dibawa, sebagai tanda kenabian dan mereka adalah penyampai risalah yang benar yang diutuskan oleh Allah SWT.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Saturday, August 14, 2021

AL-I ‘JAZ AL-‘ILMI MENURUT AL-ZINDANI

 


Pendahuluan
Istilah al-I‘jaz al-‘Ilmī atau Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan al-Sunnah bermaksud suatu ilmu eksperimen yang datang untuk mendalami kajian-kajian yang luas dalam pelbagai bidang melalui bantuan alat-alat canggih dan selepas beberapa siri pengembaraan ilmiah yang mencabar berserta para pengkaji yang silih berganti, maka penemuan demi penemuan telah menyerlahkan sedikit demi sedikit subjek kajian.
 
Apabila fakta tentang subjek kajian tersebut lengkap dan sempurna, tiba- tiba fakta tersebut didapati telah dinyatakan di dalam al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun lalu. Justeru itu, manusia mengetahui bahawa al-Quran diturunkan dengan ilmu Allah SWT. Demikian itu membuktikan secara yakin dan pasti bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT dan tiada percanggahan antara agama yang benar (al-Dīn) dengan ilmu yang benar (al-‘Ilm).
 
Oleh demikian, perlu diketengahkan elemen-elemen yang berkaitan dengan kefahaman al-Zindanī terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī untuk menyerlahkan sumbangan beliau dalam kajian bidang tersebut.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Friday, August 14, 2020

Ciri-Ciri Perbezaan di antara ‘Puasa Perubatan’ dan Puasa Syarii Islam

Puasa Syarii Islam ialah : Seseorang yang berpuasa, sepanjang tempoh tersebut, menahan dirinya daripada makan, minum dan bersetubuh untuk satu jangka masa; daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Manakala ‘Puasa Perubatan’ ialah : Seseorang yang berpuasa sepanjang tempoh tersebut, hanya menahan dirinya daripada makan  untuk satu jangka masa yang kadang-kadang berlarutan sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan; ia  di antara perkara yang membawa kepada kerosakan nisbah garam dan mineral di dalam darah serta cecair-cecair tubuh, kadangkala seseorang yang menjalani proses berpuasa melalui cara ini akan ditimpa penyakit-penyakit berbahaya berkemungkinan akan menyebabkan kematian. Oleh sebab itu, proses ‘Puasa Perubatan’ tidak dibenarkan kecuali dengan pengawasan(dipantau) oleh pakar-pakar perubatan.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Wednesday, August 14, 2019

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - Akhir

Puasa dianggap sebagai suatu pencegahan daripada penyakit otak dan jiwa serta telah terbukti kesannya terhadap penyakit ‘split personality’. Dr. Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow telah mengisyaratkan kepada perkara tersebut dengan kata-katanya: “The hunger treatment gives the entire nervous system and the brain a rest. The body is cleansed of poisons, and the tissues and the various glands are renovated. Resting the brain forms the basis for the treatment of various neuropsychiatric disorders. Treatment through fasting is an internal operation, without a scalpel”.


Maksud: “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada toksin-toksin, dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan ‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan pembedahan dalaman tanpa melalui  proses pembedahan”.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani