Saturday, August 25, 2007

Matlamat Kehidupan 9 - Hikmah Kejadian Manusia 3

Assalamualaikum dan salam bahagia. Bertemu lagi pada episod ini. Pada siri yang lepas Mukjizat Saintifik telah memperkatakan tentang kaedah untuk mengetahui matlamat kewujudan serta fungsi sebuah kereta secara tepat. Caranya ialah dengan bertanya kepada pembuat kereta tersebut apakah matlamat kewujudan serta fungsinya yang sebenar. Namun begitu adakah kita mengetahui pula tujuan dan matlamat kewujudan manusia secara tepat? Sekiranya kita semua masih samar-samar dan ragu-ragu tentang matlamat dan tujuan kedatangan kita ke dunia ini, maka adalah baik sekiranya persoalan ini diajukan kepada pencipta kita. Oleh itu, siapakah pencipta kita dan bagaimanakah pula caranya untuk mengetahui siapakah pencipta kita dengan betul dan tepat.

Sidang pembaca yang budiman sekalian. Setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai pencipta. Tiada sesuatu perkara pun yang terjadi secara tiba-tiba tanpa wujud satu kuasa yang menciptanya. Seandainya kita memberitahu bahawa kerusi adalah tercipta hasil dari ribut taufan yang berlaku dengan menerbangkan kayu balak kemudian terbelah menjadi kepingan papan dan akhirnya bercantum menjadi kerusi sudah tentu ia menjadi bahan ketawa khalayak. Sudah tentu kerusi memerlukan tukang yang khusus untuk menciptakannya.

Sekiranya penciptaan kerusi yang serba ringkas itu pun memerlukan pencipta, apatah lagi dengan kejadian bumi, manusia, haiwan dan lain-lain hidupan yang ciptaannya tersangat kompleks. Tentu sekali mereka memerlukan pencipta. Sekiranya kita ini ada pencipta yang menjadikan kita, maka siapakah pencipta kita? Jawapannya ialah Tuhan, Tuhan yang menciptakan alam ini Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana.


Pencarian Mencari Tuhan

Untuk mengetahui tujuan dan fungsi sebenar penciptaan kita, maka bertanyalah kepada pencipta kita. Siapakah Dia? Dia ialah Tuhan sekalian alam. Bagaimanakah cara untuk bertanya kepada Tuhan sekalian alam? Pembaca yang budiaman sekalian, kita sebenarnya tidak mampu berhubung terus dengan Tuhan. Disebabkan jurang inilah maka Tuhan menghantar para utusan dari kalangan manusia untuk memberitahu tugas, peranan dan tujuan penciptaan manusia.

Utusan-utusan Tuhan bertindak menyampaikan amanat yang ditetapkan oleh Tuhan sekalian alam khusus untuk umat tertentu atau umumnya untuk manusia keseluruhannya. Para utusan yang dilantik oleh Tuhan ini dipanggil nabi. Jadi apakah tanda-tanda untuk membuktikan bahawa para nabi ini betul-betul utusan Tuhan?

Para utusan yang diutus oleh Tuhan dibekalkan dengan mukjizat yang sesuai dengan akal dan tahap pemikiran kaum pada masa itu. Mungkin kita pernah mendengar nabi-nabi seperti nabi Sulaiman, nabi Saleh,nabi Musa (Moses), nabi Isa (Jesus), nabi Muhammad dan lain-lain lagi.

Mereka merupakan utusan Tuhan yang diutuskan kepada kaum-kaum tertentu. Setiap dari mereka dibekalkan dengan mukjizat yang luar biasa untuk tujuan melemahkan kemampuan manusia, mengikut suasana dan ilmu kaum pada masa itu.

Sebagai contoh kaum nabi Saleh iaitu Thamud. Mereka memiliki seni perukiran batu yang tinggi. Mereka mengukir bukit-bukau menjadi tempat-tempat kediaman yang cukup indah. Seni ukiran mereka betul-betul memukau bagi mereka yang melihatnya. Kesan peninggalan mereka dapat dilihat di kota Petra yang terletak di negara Jordan. Di tengah-tengah kemajuan teknologi memahat dan mengukir batu kaum Thamud, Tuhan menghantar utusan-Nya, nabi Saleh membawa ajaran dan amanat dari Tuhan. Tatkala kaum Thamud bermegah-megah dengan kepakaran mereka dalam seni ukiran batu, baginda dikurniakan oleh Tuhan mukjizat yang tertinggi dalam bidang pengukiran iaitu dapat membangkitkan unta dari batu. Semua pengukir batu terpaksa tunduk dan akur dengan mukjizat yang agung ini. Tiada seorang pun dari kalangan pengukir batu yang mampu membuat ukiran sehingga menjadi hidup dan bernyawa. Oleh itu mereka tidak mampu dan lemah apabila berhadapan dengan mukjizat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada nabi Saleh.

Contoh yang lain pula ialah nabi Musa. Di zaman baginda, ilmu sihir menjadi kemuliaan bagi seseorang. Oleh sebab itulah nabi Musa dikurniakan mukjizat seakan-akan sihir tetapi bukan sihir. Tongkat baginda bertukar menjadi ular apabila ia dicampak. Kemukjizatan ini bertujuan untuk menghadapi khalayak yang mempunyai tahap kesihiran yang tertinggi. Apabila berlaku pertembungan di antara nabi Musa dan ahli sihir, maka terzahirlah yang mana benar dan batil. Ini kerana hanya tukang sihir sahaja yang dapat mengesan kemukjizatan nabi Musa. Hasilnya tukang sihir berbondong-bondong beriman dengan risalah Musa.

Begitu jua halnya dengan Nabi Muhammad. Di zaman itu, penyair dan ahli bahasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Bagi tujuan ini, banyak pusat-pusat untuk mendeklamasikan puisi diadakan. Kemudian didatangkan nabi Muhammad dengan mukjizat kitab al-Quran mengandungi gaya bahasa yang tinggi sehingga ramai khalayak sama ada penyair atau pun bukan turut terpukau. Bagi mereka yang terbuka hati, terus beriman dengan nabi Muhammad. Manakala bagi mereka yang ingkar, di tuduh pula Muhammad sebagai tukang sihir. Begitulah keindahan al-Quran sehingga ramai yang terpukau untuk memeluk Islam.

Timbul persoalan pada masa sekarang apabila Islam sampai ke seluruh dunia. Ramai orang Islam membaca al-Quran tetapi tidak memahami isi kandung al-Quran apatah lagi untuk menikmati keindahan bahasanya. Sekiranya ada seorang non Muslim bertanya, apakah kelebihan kitab al-Quran, maka apa pula jawapan kita nanti? Adakah kita perlu berkata kepada non Muslim itu: "Kamu belajarlah dahulu bahasa Arab, kemudian kamu akan dapat merasai kelazatan dan keindahan bahasa al-Ouran." Adakah tega kita berkata begitu? Jadi apakah penyelesaiannya? Apakah jalan terbaik untuk menyatakan kelebihan dan kemukjizatan al-Quran pada masa kini?

Tunggu episod seterusnya untuk pembongkaran selanjutnya...