Thursday, August 16, 2007

Matlamat Kehidupan 8- Hikmah Kejadian Manusia 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam episod ini, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar bersama-sama memikirkan apakah hikmah di sebalik penciptaan kita. Mungkin ada di kalangan kita sudah mengetahui jawapannya dan tidak sedikit yang masih kabur tujuan hidupnya. Namun begitu Mukjizat Saintifik akan cuba membuka jalan untuk kita sama-sama berfikir, kaedah terbaik untuk mengetahui tujuan dan matlamat hidup manusia.

Sekiranya anda terjumpa seorang manusia yang terpisah dari arus pemodenan. Tidak pernah kenal erti kemajuan. Tidak pernah mengecap nikmat pembangunan. Teknologi terkini langsung tidak terfikir di benaknya. Kehidupannya hanya sekadar rumah, pakaian dan makanan. Tiba-tiba melintas di hadapannya sebuah kereta. Lalu si manusia tadi berkata: "Apakah benda itu?. Apakah kegunaannya? Mengapa perlu ada benda itu?".

Mungkin kita boleh menjawab persoalan tersebut secara tepat dan betul. Akan tetapi ramai manakah manusia moden di zaman ini boleh menerangkan fungsi, kegunaan dan matlamat penciptaan kereta? Bagaimanakah cara untuk memastikan kereta yang dibeli ini sentiasa baik kondisinya? Bagaimana hendak menjaganya? Bagaimana pula cara untuk menggunakan kereta agar ia tidak rosak dan musnah?

Persoalan di atas agak sukar dijawab oleh kita. Adakah cara lain untuk mengetahui kesemuanya itu? Ya! tentu sekali ada cara dan penyelesaiannya. Caranya ialah dengan kita bertanya kepada pencipta kereta itu sendiri. Tanya beliau, apakah fungsi dan matlamat dari penciptaan kereta ini? Mengapa kereta ini dicipta? Untuk apa? Untuk siapa? Bagaimana cara untuk menggunakannya dengan cara yang betul agar kereta yang dipandu tidak mudah rosak dan musnah.

Semua persoalan di atas, dapat dijawab oleh pencipta kereta dengan jelas dan tepat. Ini kerana beliau dapat mengetahui selok belok perihal kereta kerana beliaulah yang menciptanya. Beliau tahu tujuan dan matlamat penciptaan kereta, tahu kenapa ia dicipta, untuk apa, untuk siapa dan kaedah pemanduannya.

Oleh itu, bagaimanakah cara yang paling tepat untuk mengetahui matlamat dan tujuan kehidupan serta hikmah kewujudan manusia ini? Sudah tentu persoalan ini perlu diajukan kepada Pencipta manusia itu sendiri. Siapakah Pencipta manusia? Bagaimana cara untuk mengenali Pencipta?

Tunggu episod seterusnya untuk pembongkaran selanjutnya

Wednesday, August 15, 2007

Matlamat Kehidupan 7- Hikmah Kejadian Manusia


Bertemu lagi. Kali ini Mukjizat Saintifik akan membawa para pembaca budiman semua kepada satu dialog yang berlaku di antara seorang tokoh dalam ilmu mukjizat saintifik yang dipanggil sebagai Syeikh dengan seorang tokoh ilmuan barat iaitu Profesor Christopher Ballis. Beliau adalah panel pemeriksa bagi ujian kelayakan bagi mendapatkan keahlian Persatuan Perubatan di Raja Britain.

Dialog ini sebenarnya telah diceritakan oleh Syeikh dalam siri kuliahnya yang berkaitan dengan mukjizat saintifik. Begini perbualannya:

Syeikh: Prof, adakah mata dicipta dengan hikmah?

Prof:Ya, tentu sekali.

Syeikh : bagaimana pula dengan hidung? adakah ia dijadikan dengan hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh
: Bagaimana dengan mulut, tangan, jantung, paru-paru, hati dan usus kecil?

Prof
: Anda sedang mengatakan kepada saya tentang satu ilmu yang sempurna yang dikenali sebagai "ilmu tugas-tugas anggota tubuh" (Fisiologi) yang mana tidak mungkin seorang doktor boleh diijazahkan dari mana-mana fakulti perubatan kecuali setelah belajar ilmu ini iaitu ilmu fisiologi.

Syeikh
: Terima kasih. Jadi Prof, adakah anggota-anggota tadi dicipta untuk dirinya sendiri atau untuk keseluruhan tubuh?

Prof: (ketawa) Pada pendapat kamu, jika kita datangkan sistem tulang semata-mata tanpa jasad adakah ia mempunyai nilai?

Syeikh: Bukan!

Prof: Jadi, bagaimana kamu boleh berkata bahawa bahagian-bahagian ini dicipta untuk dirinya sendiri? Ia tidak diciptakan melainkan untuk keseluruhan!!!

Syeikh: Saya bertanyakan kamu Prof, dan kamu telah menjawab soalan saya dengan baik, terima kasih. Namun ada satu lagi persoalan pada saya. yang seluruh ini (jasad manusia), apakah hikmah daripadanya? Kenapa ia dijadikan?

Prof: (terperanjat) Ini adalah falsafah

Syeikh: Kamu mengelak (dari menjawab pertanyaan saya) dan kamu cuba melarikan diri sekarang ini. Sebentar tadi ia adalah ilmu fisiologi, ilmu! ilmu!. Dan sekarang, apabila kita sampai kepada yang keseluruhan ini, awak lari dan mengelak. Saya tahu kamu akan lari dan mengelak kerana hikmah tersebut tidak akan diketahui melainkan dari ajaran Tuhan yang menjadikan manusia ini kerana ia adalah ilmu yang tersembunyi pada diri Pencipta Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi, Yang Maha Suci. Namun begitu masih ada satu persoalan pada diri saya Prof.

Prof: Apakah ia?

Syeikh: Kasut anda milik anda! adakah ia mempunyai hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh: Prof, anda pasti?

Prof: Saya pasti.

Syeikh: Beritahu saya apakah hikmahnya?

Prof: Kasut dapat melindungi kaki saya daripada benda-benda tajam, cecair-cecair yang berbahaya, perubahan cuaca dan daripada benda yang mungkin menembusi tapak kaki saya berupa cacing sekira saya berkaki ayam ketika berjalan.
Syeikh: Kamu pasti?

Prof: Pasti!

Syeikh: Kamu pula, apakah hikmah dari kejadian kamu?

Prof: (terperanjat)

Syeikh: Ajaib! Demi Allah! Saya begitu takjub dengan ketamadunan kamu yang mengatakan kepada anak-anaknya: "kamu lebih hina dari kasut kamu!!!". Kasut mempunyai hikmah manakala si pemakainya tiada sebarang hikmah daripadanya, tiada hikmah dari kewujudannya!!!.

(Petikan dari Siri Bukti-bukti Keimanan dan Mukjizat-mukjizatnya)

Jadi, apakah hikmah disebalik penciptaan manusia? Siapa yang mencipta? Kenapa kita diciptakan? Bagaimana untuk mengenali siapa pencipta?

Teruskan bersama kami untuk pembongkaran selanjutnya...

Tuesday, August 14, 2007

Matlamat Kehidupan 6 - Manusia

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali dalam episod seterusnya. Pada episod-episod lepas, Mukjizat Saintifik telah membongkar beberapa benda dan perkara yang dianggap picis di mata manusia. Pada episod ini, untuk permulaannya, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar berhenti sejenak. Kemudian pandang di sekeliling kita. Perhatikan! Adakah terdapat sebarang benda atau perkara yang wujud secara sia-sia. Tidak kira anda berada di mana. Cuba perhatikan!

Sekiranya kita berada di dalam tandas, kita akan dapati di sekeliling terdapat berus tandas, pam tandas, selipar tandas, baldi, paip getah, pencuci tandas, bakul sampah dan lain-lain lagi perkakas tandas. Adakah semua benda ini wujud di dalam tandas tanpa ada tujuan dan matlamat dari pemilik tandas? Tentu sekali jelas matlamat sang pemilik tandas meletakkan segala barangan tersebut di dalam tandas. Sekiranya dia meletakkan sesuatu benda tanpa matlamat dan tujuan, maka tindakannya dianggap sia-sia dan gila.

Tinggalkan sejenak dunia tandas dan lain-lain dunia. Cuba perhatikan kepada kita. Makhluk yang bernama manusia. Manusia adalah makhluk hidup yang paling canggih ciptaannya. Paling halus buatannya. Paling seni ukirannya. Manusia dilengkapi dengan pelbagai sistem badan untuk mengharmonikan keseluruh tubuh badan.

Antara sistem-sistem yang melengkapi tubuh manusia adalah sistem perkumuhan, sistem saraf, sistem pembiakan, sistem endokrina, sistem limpa dan lain-lain lagi. Kesemua sistem ini beroperasi secara harmoni untuk menjaga organ-organ dan deria manusia agar berfungsi dengan baik.


Semua sistem tubuh manusia mempunyai matlamat dan tugas tertentu. Sistem pengliran darah sebagai contoh terdiri dari jantung dan saluran darah. Ia berfungsi satu sistem yang mengalir dan mengedarkan darah beroksigen hasil tindakan jantung yang berfungsi sebagai pam keseluruh badan melalui salurnadi dan salurhalus. Manakala darah yang kurang kandungan oksigennya dibawa balik ke jantung oleh pembuluh darah.

Sistem pernafasan bertindak sebagai agen yang membawa masuk oksigen melalui rongga hidung ke dalam darah di paru-paru dan mengeluarkan karbon dioksida dan wap air dari tubuh. Sistem penghadaman menjalankan tugas yang penting iaitu, menyediakan bahan-bahan makanan untuk diserap supaya bahan-bahan ini dapat digunakan oleh sel-sel tubuh. Sistem endokrina pula adalah satu sistem kilang tanpa salur di dalam tubuh manusia yang menghasilkan bahan kimia yang dipanggil hormon. Hormon ini diserap terus ke dalam darah dan dibawa oleh sistem pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Wow! Banyak sekali sistem yang bermatlamat dan penuh fungsi di dalam tubuh manusia. Itu belum dikira lagi fungsi setiap organ dalaman dan luaran. Belum lagi termasuk fungsi setiap deria. Pendek kata semua yang terdapat dalam tubuh manusia samada yang tersiri dari sistem, organ atau pun deria. Manusia itu sendiri terdiri dari pelbagai struktrur yang penuh misi dan matlamat. Persoalannya:

Apakah matlamat kesemua struktur itu untuk manusia?
Apakah matlamat kewujudan manusia?
Mengapa manusia ada di dunia?
Mengapa perlu ada manusia?
Untuk Siapa?
Untuk Apa?

Persoalan ini akan terbongkar pada episod seterusnya.

Rujukan:

1.
Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (1981), Anatomi dan Fisiologi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sunday, August 12, 2007

Salam Penghargaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kami dari tim Mukjizat Saintifik amat mengalu-alukan kedatangan saudara saudari sekelian samada blogger atau pun tidak ke blog Mukjizat Saintifik. Semoga kunjungan kalian akan membibitkan tunas ukhuwah Islamiah dan akhirnya berpasak akar ke dasar bumi.


Timbul persoalan yang sengaja diutarakan bagi membangkitkan kesedaran iman kaum Muslimin. Ia adalah kemusykilan mengenai apakah metod atau pun bahan yang akan digunakan oleh Rasulullah sekiranya Baginda ada pada masa kini memandangkan zaman sekarang adalah zaman sains dan teknologi. Oleh itu apakah bukti bahawa mesej dan ajaran Rasulullah benar di sisi Allah. Apakah bentuk mukjizat yang boleh dijadikan sebagai tanda serta bukti bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah?

Insya-Allah, kami dari tim Mukjizat Saintifik sedaya upaya dengan kemampuan yang ada, ingin berkongsi maklumat serta pendapat dengan para pembaca yang budiman sekelian. Kami berharap sekiranya ada persoalan yang membatu di fikiran , dapat diluahkan dan dibincangkan di sini dalam suasana yang sihat dan membina.

Selain itu, kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pembaca sekiranya ingin mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat bagi tujuan kajian mukjizat saintifik. Dengan itu, mukjizat saintifik akan lebih dikenali sekaligus akan mengembalikan keyakinan umat Islam khasnya dan umat manusia amnya terhadap al-Quran dan Sunnah Rasul.

Sekali lagi kami dari tim Mukjizat Saintifik merakamkan jutaan terima kasih di atas kunjungan para pembaca yang budiman sekalian. Semoga amalan yang kecil ini dikira oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagai amalan soleh.

Bersama-sama membongkar mukjizat nabi...