
"Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia adalah penyuci." (Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)
Timbul persoalan di sini, mengapa perlu tamar sebagai santapan pertama ketika berbuka puasa? Jawapannya ada pada buku "Puasa, Hikmah dan Hukum menurut Islam dan Perspektif Sains Moden" karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani. Mari kita sama-sama telusurinya.

Dalam muka surat 32 ada dinyatakan rahsia berbuka puasa dengan tamar. Ianya berbunyi: "Tamar dikira makanan yang paling kaya dengan gula glukosa. Oleh itu, ia dikira sebagai makanan terbaik yang dibekalkan kepada tubuh pada ketika itu. Ia mengandungi kadar nisbah gula yang tinggi yang berkitar di antara 75-87% iaitu 55% glukosa dan fruktosa sebanyak 45%. Fruktosa akan bertukar kepada glukosa dengan kecepatan yang tinggi dan ia akan diserap secara langsung melalui sistem penghadaman bagi melegakan kehausan tubuh.Begitu juga vitamin-vitamin yang terkandung dalam tamar. Kesemuanya mempunyai peranan yang aktif terhadap proses pembentukan makanan dan ia juga mempunyai kesan penenang terhadap saraf-saraf."
Jelas sekali sabda Rasul utusan Tuhan. Kebenarannya terbukti oleh eksperimen sains yang dilakukan di zaman ini. Sedangkan ketika sabda itu berlangsung, tiada langsung peralatan yang bertujuan untuk mengkaji khasiat tamar. Benar sekali sabda Rasul adalah wahyu Tuhan, Pencipta buah tamar dan sekalian alam.
Teruskan bersama kami untuk pembongkaran yang lebih mendebarkan...