Wednesday, June 18, 2008

Mukjizat Saintifik Al-Quran & As-Sunnah - Suatu Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mohon kemaafan dari tim kami kerana kesulitan untuk mengemas kini lama ini. Semoga Allah memberi taufik dan inayah kepada kita semua. Pada kali ini Mukjizat Saintifik akan mula membawa pembaca sekelian kepada topik sebenar kewujudan blog ini iaitu Membongkar Mukjizat Nabi. Sebelum itu ada baiknya kita mengetahui beberapa perkara bagi menambahkan lagi pemahaman kita terhadap mukjizat saintifik.

Allah telah menjadikan Agama sebagai wadah bagi menjelaskan kepada manusia pelbagai persoalan mengenai kehidupan dan matlamat kehidupan ini.Tanggungjawab menyampaikan Agama dan mengenalkan manusia dengan Penciptanya telah diberikan kepada wakil-wakil yang dipilih oleh Allah.Wakil-wakil Allah di muka Bumi adalah para Rasul -عليهم الصلاة والسلام- yang Allah wahyukan kepada mereka segala ajaran yang perlu disampaikan kepada manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (al-Nisa': 165)

Jadi, timbul persoalan sekarang bagaimanakah cara untuk kita mengenali utusan-utusan Allah?

Para Rasul yang diutuskan oleh Allah adalah manusia biasa seperti kita; mereka makan, minum, tidur, sakit dan berjalan seperti kita. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar," (al-Furqan: 20)

Manusia mempunyai kesukaran untuk patuh atau mempercayai sesuatu melainkan dengan bukti yang nyata. Tanpa bukti dan keterangan, dengan mudah manusia akan menolak untuk patuh dan taat.

Jika anda sedang memandu di jalan raya dan anda melihat tanda:

Lalu anda lihat salah seorang daripada dua orang yang di sebelah kiri dan kanan ini sedang menunggu, siapakah yang anda akan patuh dan mengapa???

Justeru itu Allah mengetahui para Rasul Nya akan didustai oleh manusia, maka Dia telah memperkuatkan mereka (para Rasul) dengan tanda-tanda untuk menjadi bukti bahawa mereka adalah utusan Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan" (al-Hadid:25)

Oleh itu, apakah tanda atau bukti yang menyatak mereka adalah utusan Allah??? Tunggu siri yang akan datang...

Thursday, February 14, 2008

Matlamat Kehidupan - Siri Akhir

Assalamualaikum dan salam bahagia. Alhamdulillah kerana kesempatan dan ruang yang diizinkan oleh Allah kepada kami, maka dapatlah kami menyambung perbincangan yang berkisar kepada persoalan matlamat kehidupan.

Dari artikel-artikel lepas, kita mengetahui bahawa setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai tujuan dan matlamatnya. Dari seremeh-remeh benda hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Kita dapat mengetahui fungsi semut dan tujuan kehidupannya walaupun ia amat dibenci oleh suri rumah. Kita mula dapat memahami mengapakah lalang begitu galak tumbuh selepas hutan ditebas. Kita semua semakin menyedari kepentingan gunung berapi walaupun letusannya menggerunkan hati. Sistem tubuh manusia dalam anggota badan kita telah pun kita mengetahuinya secara umum. Hikmah puasa yang disyariatkan oleh Islam telah pun terbongkar. Kebenaran al-Quran pun telah terserlah. Persoalannya, hikmah dan matlamat kewujudan kita.

Kita semua telah meyakini bahawa kitab al-Quran adalah suatu kitab yang benar lagi suci dari segala kekurangan dan kesilapan. Namun ramai di kalangan kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang akan pemberitahuan Allah berkenaan dengan tujuan dan matlamat kehidupan manusia. Adakah kita semua pernah mengetahui akan ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."!!!

Ya!!! Tujuan hidup kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan untuk beribadat kepada Allah. Ibadat??? Bagaimanakah cara beribadat? Adakah ibadat itu hanya yang asas sahaja?
Tunggu!!! Persoalan ini akan diungkap di siri akan datang...

Saturday, December 15, 2007

Pameran Mukjizat Al-Quran

Assalamualaikum warahmatullah....Kepada pembaca yang budiman sekalian. Anda dijemput ke blog al-Watary Gang untuk liputan khas berkenaan Pameran Mukjizat al-Quran 2007.

Saturday, December 8, 2007

Mohon Kemaafan

Assalamualaikum. Kami dari tim Mukjizat Saintifik memohon kemaafan di atas penangguhan mengemas kini blog mukjizatsaintifik.blogspot.com. Ini disebabkan kesibukan tim kami membantu pihak Perpustakaan Awam Dar Nur Az-Zahrah dalam menganjurkan Pameran Mukjizat al-Quran yang berlangsung di Balai Islam Lundang, Kelantan. Harap Maklum.

Saturday, November 17, 2007

Matlamat Kehidupan - Semakin Hampir Jawapannya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiaman kembali kepada Matlamat Kehidupan. Para pembaca sekalian telah melalui beberapa pembongkaran yang telah dibuat dan diharap ianya dapat membantu kita dalam memilih utusan Pencipta yang manakah yang betul-betul asli dari Pencipta.

Kami dari Tim Mukjizat tidak berniat membongkar kesalahan dan pembohongan kitab-kitab samawi mutakhir yang telah direka-reka oleh penganut masing-masing, tetapi cukuplah menyatakan kebenaran mutlak yang terkandung dalam kitab utusan terakhir Pencipta alam ini. Kita semua telah didedahkan tentang kebenaran ayat kitab utusan terakhir Pencipta iaitu al-Quran berkenaan dengan puasa. Terdapat tiga pembongkaran yang berjaya dibuat berdasarkan kajian dan teknologi terkini.

Berdasarkan kepada tiga pembongkaran ini, adakah kita semua boleh menilai kitab manakah yang betul-betul mutlak dan terbukti kebenarannya? Adakah anda boleh membezakan di antara ketulinan dan kepalsuan kitab-kitab utusan Tuhan? Sekiranya kita betul-betul yakin dengan kitab al-Quran, maka matlamat kehidupan seorang manusia hampir menemui jawapan. Teruskan bersama kami untuk jawapan yang sudah lama terjawab...

Sunday, October 21, 2007

Tee Hui Yee, Shahiduzzaman dan Cellular Memory

Negara digawatkan dengan kisah pembedahan pemindahan Tee Hui Yee, seorang remaja cina yang telah dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau adalah pengguna jantung mekanikal menggantikan jantung asal. Oleh kerana jantung mekanikal yang digunakan oleh beliau hanya mampu bertahan selama setahun, Tee Hui Yee berusaha mencari jantung asli sebagai ganti. Saban hari gadis berusia 14 tahun ini, dalam kesedihan dan tangisannya, mengira-ngira bila nafasnya akan terhenti. Namun penantiannya selama 1 tahun berakhir apabila satu pasangan suami isteri sudi mendermakan jantung anak mereka kepada Tee Hui Yee.

Pada 3 Oktober 2007, jantung penderma diterbangkan terus ke Kuala Lumpur melalui penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menunggu di Lapangan Terbang Ipoh. Menurut Utusan Malaysia, penderma tersebut berasal dari Sitiawan, Perak. Pada 4 Oktober, tepat jam 10.45 malam, Tee Hui Yee dibawa masuk ke bilik bedah dan menjalani pembedahan maraton yang berlangsung selama 13 jam.

Namun begitu, Tee Hui Yee terpaksa menjalani pembedahan kali kedua apabila tubuhnya menolak jantung penderma pertama. Menurut ilmu sains perubatan, faktor utama penolakan organ insan lain disebabkan antibodi peneriama terlalu kuat. Dengan ini, sistem pertahanan badan menahan sebarang bentuk anasir luar untuk dimasukkan kedalam jasad penerima. Hasilnya, jantung atau sebarang organ tidak dapat diterima oleh tubuh penerima.

Akan tetapi, di sana masih terdapat beberapa kemungkinan yang menjadi faktor penyebab kepada penolakan badan penerima terhadap organ penderma. Faktor tersebut dikenali sebagai Cellular Memory. Apakah ia Celular Memory itu? Cellular Memory ialah suatu istilah yang merujuk kepada perkara-perkara yang melibatkan memori, perangai, kegemaran dan citarasa yang mana semua itu tersimpan dalam setiap sel badan, bukan hanya tertumpu kepada otak sahaja. Menurut kajian sains lagi, setiap sel badan manusia, mampu menyimpan memori, perangai, hobi dan citarasa tuan empunya badan. Cellular Memory juga merujuk kepada kemampuan sel-sel badan menyimpan maklumat tentang personaliti, citarasa dan juga sejarah silam. Oleh itu, bagaimana pula sel-sel badan ini boleh menyimpan maklumat sepertimana otak?

Kajian sains menunjukkan bahawa, semua sel berinteraksi di antara satu sama lain melalui rangkaian asid amino yang dikenali sebagai "neuropeptida" dan juga reseptor. Kajian-kajian sebelum ini berpendapat bahawa, asid amino banyak terdapat dalam otak sahaja. Namun begitu, selepas kajian baru dibuat, ia menunjukkan bahawa asid amino bukan sahaja tertumpu kepada otak, malah ia juga wujud di setiap organ terutama pada organ-organ penting seperti jantung.

Kate Ruth Linton, seorang pelajar di kolej Montgomery, US, telah menulis satu jurnal berkenaan pemindahan jantung dan Cellular Memory yang bertajuk "Cellular Memory In Heart Transplant". Menurut jurnal tersebut, beberapa kajian telah dibuat terhadap penerima-penerima jantung. Kajian ini telah membuktikan bahawa penerima jantung terikut-ikut dengan tabiat serta perangai dari pendermanya.

Sebagai contoh, satu kes telah berlaku pada Mei 1998 di mana satu pembedahan pemindahan jantung telah dijalankan. Claire Sylivia, seorang perempuan, menerima jantung dari seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang terbunuh dalam satu kemalangan motosikal. Tidak lama kemudian, Sylivia mendapati dirinya mengalami beberapa perubahan yang ketara pada selera, tabiat serta tingkah laku. Dia mendapati dirinya lebih terasa maskulin serta teringin memakan cili serta bir. Sedangkan sebelum ini Sylivia tidak menggemarinya.

Selepas mendapati perubahan yang agak janggal pada dirinya, maka Sylivia pergi menemui keluarga penderma dan beliau dapati segala selera, tabiat dan tingkah laku hampir-hampir menyamai dengan Tim L., penderma jantung tersebut.

Dalam kes Tee Hui Yee, sekira tubuh beliau menerima jantung penderma pertama, Allahyarham Nur Mohammad Sahiduzzaman Yusoff, hafiz al-Quran 18 juzuk serta imam terawih di Masjid kampung Sungai Tiram, Sitiawan, apakah bakal yang terjadi nanti?

Kami tinggalkan persoalan ini untuk dijawab oleh para pembaca yang budiman sekalian. Wallahua'lam...

Rujukan
1. Utusan Malaysia Online
2. http://en.wikipedia.org/wiki/Cellular_memory
3. Kate Ruth Linton, Cellular Memory In Heart Transplant, volume 2, September 2003, Montgomery Collage.

Maaf Zahir dan Batin

Di hari yang mulia ini, kami dari tim Mukjizat Saintifik mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada para pembaca yang budiman. Dikesempatan ini juga kami memohon kemaafan diatas kelewatan kami mengemas kini blog Mukjizat Saintifik. Sebarang kesulitan amat kami kesali dan kami memohon kemaafan di atas perkara tersebut.