Showing posts with label Mukjizat Saintifik. Show all posts
Showing posts with label Mukjizat Saintifik. Show all posts

Thursday, August 14, 2025

Kepentingan al-I‘jaz al-‘Ilmī Pada Zaman Ini

Al-Zindanī telah mengemukakan beberapa kepentingan kajian al-I‘jaz al-‘Ilmī khususnya pada zaman ini:


  • Memperbaharui bukti kebenaran risalah Islam pada zaman penemuan saintifik.
  • Memperbetulkan hala tuju ilmu eksperimen sains dunia.
  • Mengaktifkan orang Islam untuk penerokaan-penerokaan alam melalui dorongan keimanan.
  • Mengemukakan dalil-dalil keimanan untuk menguatkan iman orang mukmin


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Wednesday, August 14, 2024

Kepentingan Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī

Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī telah mengubah dimensi dan perspektif para ulama terhadap al-I‘jāz al-‘Ilmī.
 
Walau bagaimanapun dalam keghairahan sesetengah penulis tentang kajian al-I‘jaz al-‘Ilmī yang kurang peka terhadap kepentingan kaedah-kaedah al-I‘jaz al-‘Ilmī telah menyebabkan mereka tersasar daripada memahami konsep sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.
 
Kesan penulisan yang tersasar ini bukan sahaja mencemarkan imej Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap wahyu, bahkan boleh mengaburkan bukti kebenaran agama Islam untuk manusia pada zaman ini.
 
Oleh sebab itu, perlu perlu difahami definisi al-I‘jaz al-‘Ilmī supaya perbahasan dan kajian yang dilakukan tidak lari daripada skop dan fokus sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Monday, August 14, 2023

Pendirian Ulama Terhadap al-Tafsīr al-‘Ilmī dan al-I‘jaz al-‘Ilmī

Secara ringkasnya para ulama Islam yang membahaskan tentang al-Tafsīr al-‘Ilmī di dalam al-Quran terbahagi kepada dua kumpulan;

Kumpulan pertama : mengharuskan pentafsiran ilmiah terhadap al-Quran, menyeru ke arahnya, melihatnya sebagai satu lembaran baru dan merupakan satu reformasi jalan dakwah kepada Allah SWT serta sebagai petunjuk ke jalan Allah SWT. Kumpulan kedua : berpendapat pentafsiran jenis ini telah mengeluarkan al-Quran daripada objektif sebenar penurunannya, melibatkannya dalam perkara    yang merupakan logik akal manusia semata-mata, serta menjadikannya medan ujian yang ada kalanya benar dan salah.

Dalam perkembangan lain, ketika membicarakan tentang al-I‘jaz al-‘Ilmī, tidak berlaku pertentangan pendapat yang ketara dalam kalangan ulama bahkan majoriti ulama Islam hampir sepakat menyatakan penerimaan mereka terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī. Hal ini berlaku disebabkan adanya usaha menggariskan kaedah menjadikan al-I‘jaz al-‘Ilmī satu bidang ilmu baru yang khusus berdasarkan disiplin, syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu yang telah disepakati. Lebih- lebih lagi, kaedah ini bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Sunday, August 14, 2022

Pengenalan Mukjizat al-Quran Menurut al-Zindanī

Agama Islam keseluruhannya bergantung kepada ajaran Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengutuskan para rasul untuk mengajar manusia mengenali Tuhan mereka, menyeru mereka supaya beribadat kepadaNya dan menerangkan hikmah penciptaan mereka. Begitu juga untuk menyelamatkan mereka daripada kecelakaan perselisihan, menegakkan agama Allah SWT dalam kalangan manusia dan berhukum berdasarkan wahyu Allah SWT.

Para rasul juga diutuskan untuk menyampaikan berita gembira tentang nikmat yang Allah SWT sediakan kepada orang mukmin dan memberi amaran tentang balasan azab kepada orang kafir kerana kekufuran mereka. Begitu juga untuk menegakkan hujah Tuhan ke atas manusia dan supaya para rasul menjadi teladan kepada orang yang beriman.

Akan tetapi, para rasul utusan dalam dakwah mereka akan berhadapan dengan penentangan manusia sebagaimana yang telah dihadapi oleh semua rasul. Selagi kebenaran para rasul tidak dibuktikan, maka hujah ke atas manusia tidak dapat ditegakkan dan manusia akan mempunyai alasan untuk menolak risalah yang dibawa oleh para rasul. 

Allah SWT Maha Mengetahui perkara tersebut, lalu Allah SWT juga mengurniakan kepada para rasul bukti dan dalil yang di namakan ayat atau bayyinat. Manusia pula menamakannya sebagai mukjizat. Mukjizat ini menjadi bukti kepada para rasul tentang kebenaran risalah yang dibawa, sebagai tanda kenabian dan mereka adalah penyampai risalah yang benar yang diutuskan oleh Allah SWT.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Saturday, August 14, 2021

AL-I ‘JAZ AL-‘ILMI MENURUT AL-ZINDANI

 


Pendahuluan
Istilah al-I‘jaz al-‘Ilmī atau Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan al-Sunnah bermaksud suatu ilmu eksperimen yang datang untuk mendalami kajian-kajian yang luas dalam pelbagai bidang melalui bantuan alat-alat canggih dan selepas beberapa siri pengembaraan ilmiah yang mencabar berserta para pengkaji yang silih berganti, maka penemuan demi penemuan telah menyerlahkan sedikit demi sedikit subjek kajian.
 
Apabila fakta tentang subjek kajian tersebut lengkap dan sempurna, tiba- tiba fakta tersebut didapati telah dinyatakan di dalam al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun lalu. Justeru itu, manusia mengetahui bahawa al-Quran diturunkan dengan ilmu Allah SWT. Demikian itu membuktikan secara yakin dan pasti bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT dan tiada percanggahan antara agama yang benar (al-Dīn) dengan ilmu yang benar (al-‘Ilm).
 
Oleh demikian, perlu diketengahkan elemen-elemen yang berkaitan dengan kefahaman al-Zindanī terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī untuk menyerlahkan sumbangan beliau dalam kajian bidang tersebut.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Wednesday, June 20, 2007

Definisi Mukjizat Saintifik



Mukjizat Saintifik adalah istilah, hasil gabungan dua perkataan iaitu; "mukjizat" dan "saintifik".

Mukjizat ialah; kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka.

Saintifik pula bermaksud; berkenaan dengan sesuatu yang dilakukan menurut kaedah atau prinsip sains.

Mukjizat Saintifik pula ditakrifkan sebagai ; suatu berita atau pengkhabaran bersumberkan dari al-Quran dan hadis tentang sesuatu fakta yang dibuktikan oleh kajian sains moden, di mana ia tidak mampu diketahui oleh manusia (dengan tahap keilmuan) di zaman Rasulullah SAW.

Oleh demikian, al-I‘jaz al-ʻIlmī dapat difahami sebagai perkhabaran al-Quran dan al-Sunnah tentang hakikat fakta sains yang disaksikan bertepatan dengan kaedah-kaedah khusus al-I‘jaz al-ʻIlmī terhadap sesuatu yang dapat dibuktikan oleh ilmu eksperimen dan hal itu belum tercapai kerana keterbatasan peralatan manusia pada zaman Rasulullah SAW. Hal ini membuktikan kebenaran Rasulullah SAW yang telah menyampaikan ilmu daripada Allah SWT.

Setakat ini dahulu. Semoga rahsia mukjizat nabi semakin terbongkar...