Showing posts with label Hikmah. Show all posts
Showing posts with label Hikmah. Show all posts

Saturday, July 10, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Jika ditanyakan kepada mana-mana individu apakah fungsi mata, telinga, akal, tangan, kaki dan kesemua anggota badan manusia, mereka akan menyatakan satu persatu fungsi anggota tersebut. Tidak ada sesuatu pun pada manusia daripada sel-sel yang seni sehinggalah kesemua anggota badan kecuali di sana ada tugas dan fungsi tertentu.


Persoalannya, kalaulah kesemua bahagian anggota itu mempunyai tugasan tertentu, maka apakah fungsi dan tugas manusia yang terdiri daripada anggota yang memang diketahui mempunyai tugas dan fungsi itu?


Bagi kita penganut Islam, jawapan kepada persoalan ini telah dijawab oleh Allah di dalam Al-Quran melalui dakwah para rasul. Tetapi kaum Kuffar apabila ditanya tentang hikmah kewujudan mereka di atas muka bumi, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.


Kita akan mendapati daripada mereka jawapan yang pelbagai. Tetapi kebanyakan mereka akan mengatakan kehidupan ini adalah setakat di dunia kemudian lenyap begitu sahaja. Apa yang menghairankan, orang kafir yang belajar ilmu kedoktoran yang mengetahui fungsi dan tugas setiap juzuk tentang diri manusia pun tetap tidak dapat menjawab apakah fungsi dan tugas seorang manusia secara keseluruhan!!!



Jikalau kita mengatakan kepada mereka, sesungguhnya para doktor kamu adalah sia-sia dalam kerjaya mereka, mereka pasti akan mengejek kata-kata ini dengan berkata: adakah sesuatu yang sia-sia bagi orang yang merawat penyakit pada mata , mulut, perut, hati, apabila ia diserang penyakit? Sesungguhnya para doktor kami lebih tinggi untuk dinisbahkan kepada mereka dengan sia-sia.



Kita mengatakan kepada mereka kembali: kamu benar. Sesungguhnya orang yang membaiki kerosakan, merawat penyakit pada anggota tidak melakukan kerja sia-sia. Akan tetapi, bagaimana pula sangkaan kamu terhadap Pencipta mata, mulut, perut, hati dan manusia itu sendiri? Adakah hanya sia-sia dalam ciptaan-Nya?



Sesungguhnya Allah SWT Maha Mulia dan Maha Tinggi untuk dinisbahkan kepada-Nya dengan sia-sia. Firman Allah SWT:



{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُونَ}(المؤمنون/115).


[23.115] "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Friday, July 2, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Muqaddimah



Firman Allah SWT :



{وَالْعَصْرِ}(العصر/1).

{إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ}(العصر/2).

{إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ }(العصر/3).


[103.1] Demi Masa!

[103.2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

[103.3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.



Allah SWT bersumpah dengan masa yang merupakan salah satu makhluk-Nya. Kita sekarang berada di penghujung tahun sama ada Hijrah atau Masihi. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut tahun baru dan meninggalkan tahun yang telah berlalu. Dengan berlalunya tahun tersebut, maka berlalulah umur setiap manusia.


Sesiapa yang mempunyai kadar umur tertentu pada akhir tahun yang lepas, maka telah berkurangan daripada umurnya setahun. Sesiapa yang pada hari ini berada dalam umur remaja, ada yang berada dalam umur dewasa, di sana juga ada yang masih kanak-kanak, ada yang masih di peringkat janin dalam perut ibu seterusnya ada yang masih di alam ghaib.


Berlalu tahun ke tahun dan keluar generasi demi generasi kepada kewujudan secara berterusan, kemudian mereka saling meninggalkan antara satu sama lain. Maka berakhirlah umur-umur sebagaimana berakhirnya perhitungan tahun. Lalu berpindahlah manusia daripada tempat beramal ke tempat pembalasan.


Setiap seorang daripada kita akan meninggalkan kesemua yang dicintai yang diambil berat supaya terus kekal bersamanya. Segala miliknya di dunia pasti ditinggalkan. Firman Allah SWT:


{وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُمْ مَا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ وَمَا نَرَى مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمْ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ لَقَدْ تَقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُمْ مَا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ}(الأنعام/94).


[6.94] Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).


Hukum lampau sama ada ke atas raja-raja, pemerintah-pemerintah, fakir miskin, daripada makhluk Allah SWT di atas muka bumi adalah secara sama rata. Tiada seorang yang terkecuali walau sekuat mana sekali pun, sebanyak mana harta dan juga setinggi mana pangkat yang disandangi. Allah merupakan yang Maha Berkuasa memaksakan kematian ke atas mereka serta menghadapkan mereka kepada-Nya untuk dihisab. Firman Allah SWT:



{إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ }(الغاشية/25).

{ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ }(الغاشية/26).


[88.25] Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

[88.26] Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.


Apabila nyawa telah sampai di halkum, kita akan mengetahui hakikat dunia dan nilainya. Pada saat itu, kita akan mengetahui bahawa perkara paling penting yang mesti diambil berat secara serius, menjuruskan segala kehidupan adalah semata-mata kerananya dan mati pula adalah untuknya, ia adalah merupakan urusan yang terhasil dengan menyedari juga melaksanakan hikmah daripada kewujudan kita dalam kehidupan.


Demikianlah urusan yang paling besar, sesungguhnya kita telah diciptakan supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita diciptakan untuk melaksanakan kehendak-Nya melalui kewujudan di dunia ini.


Semasa nazak, kita akan bertanya kepada diri sendiri, adakah aku telah memanfaatkan daripada kehidupan yang telah berlalu? Adakah aku telah memanfaatkan hari-hari, malam-malam, dan tahun demi tahun? Adakah aku telah bersedia untuk bertemu Tuhanku atau pun aku telah berpaling, lupa, buat-buat lupa, mengikut hawa nafsu syahwat, menyimpang daripada urusan yang sangat penting yang kerananya aku dicipta?


Sedangkan sekarang ini, sedang menuju ke tempat dihitung amalan. Setiap sesuatu di dunia dan benda-benda yang Allah telah kurniakan adalah bertujuan untuk pengabdian kepada-Nya. Kita mestilah menjadikan (kurniaan tersebut) tunduk kepada perintah Allah SWT agar kita tidak keluar daripada dunia ini kecuali kita telah melaksanakan perintah Tuhan Penguasa alam. Firman Allah SWT:



{قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(الأنعام/162).

{لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ}(الأنعام/163).


[6.162] Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[6.163] Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".


Kita tidak akan menyekutukan bersama Allah sesuatu pun di dalam ibadat. Allah yang Esa menciptakan kita, memberi rezeki, menciptakan kesemua makhluk, maka hanya Dialah yang layak disembah tanpa disekutukan dengan-Nya sesuatu pun.


Thursday, February 14, 2008

Matlamat Kehidupan - Siri Akhir

Assalamualaikum dan salam bahagia. Alhamdulillah kerana kesempatan dan ruang yang diizinkan oleh Allah kepada kami, maka dapatlah kami menyambung perbincangan yang berkisar kepada persoalan matlamat kehidupan.

Dari artikel-artikel lepas, kita mengetahui bahawa setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai tujuan dan matlamatnya. Dari seremeh-remeh benda hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Kita dapat mengetahui fungsi semut dan tujuan kehidupannya walaupun ia amat dibenci oleh suri rumah. Kita mula dapat memahami mengapakah lalang begitu galak tumbuh selepas hutan ditebas. Kita semua semakin menyedari kepentingan gunung berapi. Sistem tubuh manusia dalam anggota badan kita telah pun kita mengetahuinya secara umum. Hikmah puasa yang disyariatkan oleh Islam telah pun terbongkar. Kebenaran al-Quran pun telah terserlah. Persoalannya, hikmah dan matlamat kewujudan kita.

Kita semua telah meyakini bahawa kitab al-Quran adalah suatu kitab yang benar lagi suci dari segala kekurangan dan kesilapan. Namun ramai di kalangan kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang akan pemberitahuan Allah berkenaan dengan tujuan dan matlamat kehidupan manusia. Adakah kita semua pernah mengetahui akan ayat al-Quran yang bermaksud: walaupun letusannya menggerunkan hati.
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."!!!

Ya!!! Tujuan hidup kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan untuk beribadat kepada Allah. Ibadat??? Bagaimanakah cara beribadat? Adakah ibadat itu hanya yang asas sahaja?

Tunggu!!! Persoalan ini akan diungkap di siri akan datang...

Saturday, November 17, 2007

Matlamat Kehidupan - Semakin Hampir Jawapannya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiaman kembali kepada Matlamat Kehidupan. Para pembaca sekalian telah melalui beberapa pembongkaran yang telah dibuat dan diharap ianya dapat membantu kita dalam memilih utusan Pencipta yang manakah yang betul-betul asli dari Pencipta.

Kami dari Tim Mukjizat tidak berniat membongkar kesalahan dan pembohongan kitab-kitab samawi mutakhir yang telah direka-reka oleh penganut masing-masing, tetapi cukuplah menyatakan kebenaran mutlak yang terkandung dalam kitab utusan terakhir Pencipta alam ini. Kita semua telah didedahkan tentang kebenaran ayat kitab utusan terakhir Pencipta iaitu al-Quran berkenaan dengan puasa. Terdapat tiga pembongkaran yang berjaya dibuat berdasarkan kajian dan teknologi terkini.

Berdasarkan kepada tiga pembongkaran ini, adakah kita semua boleh menilai kitab manakah yang betul-betul mutlak dan terbukti kebenarannya? Adakah anda boleh membezakan di antara ketulinan dan kepalsuan kitab-kitab utusan Tuhan? Sekiranya kita betul-betul yakin dengan kitab al-Quran, maka matlamat kehidupan seorang manusia hampir menemui jawapan. Teruskan bersama kami untuk jawapan yang sudah lama terjawab...

Sunday, September 2, 2007

Matlamat Kehidupan 10 - Hikmah Kejadian Manusia 4

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali di episod Matlamat Kehidupan 10 - Hikmah Kejadian Manusia 4. Pada episod lalu, Mukjizat Saintifik ada mempersoalkan cara untuk meyakinkan manusia sama ada Muslim atau non-Muslim terhadap kebenaran al-Quran. Sekiranya al-Quran ini betul-betul kalam Tuhan, apa buktinya?

Pembaca yang budiman. Di zaman ini, dunia meletakkan ilmu sains di tempat yang tinggi dalam kehidupan. Kehidupan masa kini sememangnya tidak terlepas dari kemajuan dan teknologi sains. Sekiranya ingin mengetahui hakikat sesuatu perkara, maka ia perlu melalui displin ilmu sains. Sains adalah segala-galanya dalam kehidupan pasca moden ini.

Bgaimana pula halnya dengan al-Quran? Adakah ia masih sesuai dan relevan di masa kini memandangkan ia di turunkan lebih 1400 tahun yang lampau? Mari kita sama-sama mengorek rahsia al-Quran agar ia terbongkar. Pembongkaran telah bermula.

Cuba kita sama-sama melihat kepada surah al-Baqarah ayat ke 184 yang berbunyi: "dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui." Puasa adalah menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Fidyah pula bermaksud gantian kepada amalan puasa dengan memberi makan kepada fakir miskin sekiranya terdapat individu yang tidak berkemampuan untuk berpuasa disebabkan tua atau sebagainya.

Ayat ini adalah galakan dari Tuhan agar berpuasa daripada berbuka dan membaya fidyah disebabkan adanya kebaikan yang terkandung dalam puasa. Oleh itu perkara yang ingin dibongkar di sini adalah "berpuasa itu lebih baik bagi kamu". Apakah kebaikan yang terkandung dalam amalan berpuasa? Berpeluangkah kita untuk mengetahuinya?

Bersama kami di episod akan datang untuk pembongkaran sebenar...

Saturday, August 25, 2007

Matlamat Kehidupan 9 - Hikmah Kejadian Manusia 3

Assalamualaikum dan salam bahagia. Bertemu lagi pada episod ini. Pada siri yang lepas Mukjizat Saintifik telah memperkatakan tentang kaedah untuk mengetahui matlamat kewujudan serta fungsi sebuah kereta secara tepat. Caranya ialah dengan bertanya kepada pembuat kereta tersebut apakah matlamat kewujudan serta fungsinya yang sebenar. Namun begitu adakah kita mengetahui pula tujuan dan matlamat kewujudan manusia secara tepat? Sekiranya kita semua masih samar-samar dan ragu-ragu tentang matlamat dan tujuan kedatangan kita ke dunia ini, maka adalah baik sekiranya persoalan ini diajukan kepada pencipta kita. Oleh itu, siapakah pencipta kita dan bagaimanakah pula caranya untuk mengetahui siapakah pencipta kita dengan betul dan tepat.

Sidang pembaca yang budiman sekalian. Setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai pencipta. Tiada sesuatu perkara pun yang terjadi secara tiba-tiba tanpa wujud satu kuasa yang menciptanya. Seandainya kita memberitahu bahawa kerusi adalah tercipta hasil dari ribut taufan yang berlaku dengan menerbangkan kayu balak kemudian terbelah menjadi kepingan papan dan akhirnya bercantum menjadi kerusi sudah tentu ia menjadi bahan ketawa khalayak. Sudah tentu kerusi memerlukan tukang yang khusus untuk menciptakannya.

Sekiranya penciptaan kerusi yang serba ringkas itu pun memerlukan pencipta, apatah lagi dengan kejadian bumi, manusia, haiwan dan lain-lain hidupan yang ciptaannya tersangat kompleks. Tentu sekali mereka memerlukan pencipta. Sekiranya kita ini ada pencipta yang menjadikan kita, maka siapakah pencipta kita? Jawapannya ialah Tuhan, Tuhan yang menciptakan alam ini Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana.


Pencarian Mencari Tuhan

Untuk mengetahui tujuan dan fungsi sebenar penciptaan kita, maka bertanyalah kepada pencipta kita. Siapakah Dia? Dia ialah Tuhan sekalian alam. Bagaimanakah cara untuk bertanya kepada Tuhan sekalian alam? Pembaca yang budiaman sekalian, kita sebenarnya tidak mampu berhubung terus dengan Tuhan. Disebabkan jurang inilah maka Tuhan menghantar para utusan dari kalangan manusia untuk memberitahu tugas, peranan dan tujuan penciptaan manusia.

Utusan-utusan Tuhan bertindak menyampaikan amanat yang ditetapkan oleh Tuhan sekalian alam khusus untuk umat tertentu atau umumnya untuk manusia keseluruhannya. Para utusan yang dilantik oleh Tuhan ini dipanggil nabi. Jadi apakah tanda-tanda untuk membuktikan bahawa para nabi ini betul-betul utusan Tuhan?

Para utusan yang diutus oleh Tuhan dibekalkan dengan mukjizat yang sesuai dengan akal dan tahap pemikiran kaum pada masa itu. Mungkin kita pernah mendengar nabi-nabi seperti nabi Sulaiman, nabi Saleh,nabi Musa (Moses), nabi Isa (Jesus), nabi Muhammad dan lain-lain lagi.

Mereka merupakan utusan Tuhan yang diutuskan kepada kaum-kaum tertentu. Setiap dari mereka dibekalkan dengan mukjizat yang luar biasa untuk tujuan melemahkan kemampuan manusia, mengikut suasana dan ilmu kaum pada masa itu.

Sebagai contoh kaum nabi Saleh iaitu Thamud. Mereka memiliki seni perukiran batu yang tinggi. Mereka mengukir bukit-bukau menjadi tempat-tempat kediaman yang cukup indah. Seni ukiran mereka betul-betul memukau bagi mereka yang melihatnya. Kesan peninggalan mereka dapat dilihat di kota Petra yang terletak di negara Jordan. Di tengah-tengah kemajuan teknologi memahat dan mengukir batu kaum Thamud, Tuhan menghantar utusan-Nya, nabi Saleh membawa ajaran dan amanat dari Tuhan. Tatkala kaum Thamud bermegah-megah dengan kepakaran mereka dalam seni ukiran batu, baginda dikurniakan oleh Tuhan mukjizat yang tertinggi dalam bidang pengukiran iaitu dapat membangkitkan unta dari batu. Semua pengukir batu terpaksa tunduk dan akur dengan mukjizat yang agung ini. Tiada seorang pun dari kalangan pengukir batu yang mampu membuat ukiran sehingga menjadi hidup dan bernyawa. Oleh itu mereka tidak mampu dan lemah apabila berhadapan dengan mukjizat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada nabi Saleh.

Contoh yang lain pula ialah nabi Musa. Di zaman baginda, ilmu sihir menjadi kemuliaan bagi seseorang. Oleh sebab itulah nabi Musa dikurniakan mukjizat seakan-akan sihir tetapi bukan sihir. Tongkat baginda bertukar menjadi ular apabila ia dicampak. Kemukjizatan ini bertujuan untuk menghadapi khalayak yang mempunyai tahap kesihiran yang tertinggi. Apabila berlaku pertembungan di antara nabi Musa dan ahli sihir, maka terzahirlah yang mana benar dan batil. Ini kerana hanya tukang sihir sahaja yang dapat mengesan kemukjizatan nabi Musa. Hasilnya tukang sihir berbondong-bondong beriman dengan risalah Musa.

Begitu jua halnya dengan Nabi Muhammad. Di zaman itu, penyair dan ahli bahasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Bagi tujuan ini, banyak pusat-pusat untuk mendeklamasikan puisi diadakan. Kemudian didatangkan nabi Muhammad dengan mukjizat kitab al-Quran mengandungi gaya bahasa yang tinggi sehingga ramai khalayak sama ada penyair atau pun bukan turut terpukau. Bagi mereka yang terbuka hati, terus beriman dengan nabi Muhammad. Manakala bagi mereka yang ingkar, di tuduh pula Muhammad sebagai tukang sihir. Begitulah keindahan al-Quran sehingga ramai yang terpukau untuk memeluk Islam.

Timbul persoalan pada masa sekarang apabila Islam sampai ke seluruh dunia. Ramai orang Islam membaca al-Quran tetapi tidak memahami isi kandung al-Quran apatah lagi untuk menikmati keindahan bahasanya. Sekiranya ada seorang non Muslim bertanya, apakah kelebihan kitab al-Quran, maka apa pula jawapan kita nanti? Adakah kita perlu berkata kepada non Muslim itu: "Kamu belajarlah dahulu bahasa Arab, kemudian kamu akan dapat merasai kelazatan dan keindahan bahasa al-Ouran." Adakah tega kita berkata begitu? Jadi apakah penyelesaiannya? Apakah jalan terbaik untuk menyatakan kelebihan dan kemukjizatan al-Quran pada masa kini?

Tunggu episod seterusnya untuk pembongkaran selanjutnya...

Thursday, August 16, 2007

Matlamat Kehidupan 8- Hikmah Kejadian Manusia 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam episod ini, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar bersama-sama memikirkan apakah hikmah di sebalik penciptaan kita. Mungkin ada di kalangan kita sudah mengetahui jawapannya dan tidak sedikit yang masih kabur tujuan hidupnya. Namun begitu Mukjizat Saintifik akan cuba membuka jalan untuk kita sama-sama berfikir, kaedah terbaik untuk mengetahui tujuan dan matlamat hidup manusia.

Sekiranya anda terjumpa seorang manusia yang terpisah dari arus pemodenan. Tidak pernah kenal erti kemajuan. Tidak pernah mengecap nikmat pembangunan. Teknologi terkini langsung tidak terfikir di benaknya. Kehidupannya hanya sekadar rumah, pakaian dan makanan. Tiba-tiba melintas di hadapannya sebuah kereta. Lalu si manusia tadi berkata: "Apakah benda itu?. Apakah kegunaannya? Mengapa perlu ada benda itu?".

Mungkin kita boleh menjawab persoalan tersebut secara tepat dan betul. Akan tetapi ramai manakah manusia moden di zaman ini boleh menerangkan fungsi, kegunaan dan matlamat penciptaan kereta? Bagaimanakah cara untuk memastikan kereta yang dibeli ini sentiasa baik kondisinya? Bagaimana hendak menjaganya? Bagaimana pula cara untuk menggunakan kereta agar ia tidak rosak dan musnah?

Persoalan di atas agak sukar dijawab oleh kita. Adakah cara lain untuk mengetahui kesemuanya itu? Ya! tentu sekali ada cara dan penyelesaiannya. Caranya ialah dengan kita bertanya kepada pencipta kereta itu sendiri. Tanya beliau, apakah fungsi dan matlamat dari penciptaan kereta ini? Mengapa kereta ini dicipta? Untuk apa? Untuk siapa? Bagaimana cara untuk menggunakannya dengan cara yang betul agar kereta yang dipandu tidak mudah rosak dan musnah.

Semua persoalan di atas, dapat dijawab oleh pencipta kereta dengan jelas dan tepat. Ini kerana beliau dapat mengetahui selok belok perihal kereta kerana beliaulah yang menciptanya. Beliau tahu tujuan dan matlamat penciptaan kereta, tahu kenapa ia dicipta, untuk apa, untuk siapa dan kaedah pemanduannya.

Oleh itu, bagaimanakah cara yang paling tepat untuk mengetahui matlamat dan tujuan kehidupan serta hikmah kewujudan manusia ini? Sudah tentu persoalan ini perlu diajukan kepada Pencipta manusia itu sendiri. Siapakah Pencipta manusia? Bagaimana cara untuk mengenali Pencipta?

Tunggu episod seterusnya untuk pembongkaran selanjutnya

Wednesday, August 15, 2007

Matlamat Kehidupan 7- Hikmah Kejadian Manusia


Bertemu lagi. Kali ini Mukjizat Saintifik akan membawa para pembaca budiman semua kepada satu dialog yang berlaku di antara seorang tokoh dalam ilmu mukjizat saintifik yang dipanggil sebagai Syeikh dengan seorang tokoh ilmuan barat iaitu Profesor Christopher Ballis. Beliau adalah panel pemeriksa bagi ujian kelayakan bagi mendapatkan keahlian Persatuan Perubatan di Raja Britain.

Dialog ini sebenarnya telah diceritakan oleh Syeikh dalam siri kuliahnya yang berkaitan dengan mukjizat saintifik. Begini perbualannya:

Syeikh: Prof, adakah mata dicipta dengan hikmah?

Prof:Ya, tentu sekali.

Syeikh : bagaimana pula dengan hidung? adakah ia dijadikan dengan hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh
: Bagaimana dengan mulut, tangan, jantung, paru-paru, hati dan usus kecil?

Prof
: Anda sedang mengatakan kepada saya tentang satu ilmu yang sempurna yang dikenali sebagai "ilmu tugas-tugas anggota tubuh" (Fisiologi) yang mana tidak mungkin seorang doktor boleh diijazahkan dari mana-mana fakulti perubatan kecuali setelah belajar ilmu ini iaitu ilmu fisiologi.

Syeikh
: Terima kasih. Jadi Prof, adakah anggota-anggota tadi dicipta untuk dirinya sendiri atau untuk keseluruhan tubuh?

Prof: (ketawa) Pada pendapat kamu, jika kita datangkan sistem tulang semata-mata tanpa jasad adakah ia mempunyai nilai?

Syeikh: Bukan!

Prof: Jadi, bagaimana kamu boleh berkata bahawa bahagian-bahagian ini dicipta untuk dirinya sendiri? Ia tidak diciptakan melainkan untuk keseluruhan!!!

Syeikh: Saya bertanyakan kamu Prof, dan kamu telah menjawab soalan saya dengan baik, terima kasih. Namun ada satu lagi persoalan pada saya. yang seluruh ini (jasad manusia), apakah hikmah daripadanya? Kenapa ia dijadikan?

Prof: (terperanjat) Ini adalah falsafah

Syeikh: Kamu mengelak (dari menjawab pertanyaan saya) dan kamu cuba melarikan diri sekarang ini. Sebentar tadi ia adalah ilmu fisiologi, ilmu! ilmu!. Dan sekarang, apabila kita sampai kepada yang keseluruhan ini, awak lari dan mengelak. Saya tahu kamu akan lari dan mengelak kerana hikmah tersebut tidak akan diketahui melainkan dari ajaran Tuhan yang menjadikan manusia ini kerana ia adalah ilmu yang tersembunyi pada diri Pencipta Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi, Yang Maha Suci. Namun begitu masih ada satu persoalan pada diri saya Prof.

Prof: Apakah ia?

Syeikh: Kasut anda milik anda! adakah ia mempunyai hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh: Prof, anda pasti?

Prof: Saya pasti.

Syeikh: Beritahu saya apakah hikmahnya?

Prof: Kasut dapat melindungi kaki saya daripada benda-benda tajam, cecair-cecair yang berbahaya, perubahan cuaca dan daripada benda yang mungkin menembusi tapak kaki saya berupa cacing sekira saya berkaki ayam ketika berjalan.
Syeikh: Kamu pasti?

Prof: Pasti!

Syeikh: Kamu pula, apakah hikmah dari kejadian kamu?

Prof: (terperanjat)

Syeikh: Ajaib! Demi Allah! Saya begitu takjub dengan ketamadunan kamu yang mengatakan kepada anak-anaknya: "kamu lebih hina dari kasut kamu!!!". Kasut mempunyai hikmah manakala si pemakainya tiada sebarang hikmah daripadanya, tiada hikmah dari kewujudannya!!!.

(Petikan dari Siri Bukti-bukti Keimanan dan Mukjizat-mukjizatnya)

Jadi, apakah hikmah disebalik penciptaan manusia? Siapa yang mencipta? Kenapa kita diciptakan? Bagaimana untuk mengenali siapa pencipta?

Teruskan bersama kami untuk pembongkaran selanjutnya...

Tuesday, August 14, 2007

Matlamat Kehidupan 6 - Manusia

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali dalam episod seterusnya. Pada episod-episod lepas, Mukjizat Saintifik telah membongkar beberapa benda dan perkara yang dianggap picis di mata manusia. Pada episod ini, untuk permulaannya, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar berhenti sejenak. Kemudian pandang di sekeliling kita. Perhatikan! Adakah terdapat sebarang benda atau perkara yang wujud secara sia-sia. Tidak kira anda berada di mana. Cuba perhatikan!

Sekiranya kita berada di dalam tandas, kita akan dapati di sekeliling terdapat berus tandas, pam tandas, selipar tandas, baldi, paip getah, pencuci tandas, bakul sampah dan lain-lain lagi perkakas tandas. Adakah semua benda ini wujud di dalam tandas tanpa ada tujuan dan matlamat dari pemilik tandas? Tentu sekali jelas matlamat sang pemilik tandas meletakkan segala barangan tersebut di dalam tandas. Sekiranya dia meletakkan sesuatu benda tanpa matlamat dan tujuan, maka tindakannya dianggap sia-sia dan gila.

Tinggalkan sejenak dunia tandas dan lain-lain dunia. Cuba perhatikan kepada kita. Makhluk yang bernama manusia. Manusia adalah makhluk hidup yang paling canggih ciptaannya. Paling halus buatannya. Paling seni ukirannya. Manusia dilengkapi dengan pelbagai sistem badan untuk mengharmonikan keseluruh tubuh badan.

Antara sistem-sistem yang melengkapi tubuh manusia adalah sistem perkumuhan, sistem saraf, sistem pembiakan, sistem endokrina, sistem limpa dan lain-lain lagi. Kesemua sistem ini beroperasi secara harmoni untuk menjaga organ-organ dan deria manusia agar berfungsi dengan baik.


Semua sistem tubuh manusia mempunyai matlamat dan tugas tertentu. Sistem pengliran darah sebagai contoh terdiri dari jantung dan saluran darah. Ia berfungsi satu sistem yang mengalir dan mengedarkan darah beroksigen hasil tindakan jantung yang berfungsi sebagai pam keseluruh badan melalui salurnadi dan salurhalus. Manakala darah yang kurang kandungan oksigennya dibawa balik ke jantung oleh pembuluh darah.

Sistem pernafasan bertindak sebagai agen yang membawa masuk oksigen melalui rongga hidung ke dalam darah di paru-paru dan mengeluarkan karbon dioksida dan wap air dari tubuh. Sistem penghadaman menjalankan tugas yang penting iaitu, menyediakan bahan-bahan makanan untuk diserap supaya bahan-bahan ini dapat digunakan oleh sel-sel tubuh. Sistem endokrina pula adalah satu sistem kilang tanpa salur di dalam tubuh manusia yang menghasilkan bahan kimia yang dipanggil hormon. Hormon ini diserap terus ke dalam darah dan dibawa oleh sistem pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Wow! Banyak sekali sistem yang bermatlamat dan penuh fungsi di dalam tubuh manusia. Itu belum dikira lagi fungsi setiap organ dalaman dan luaran. Belum lagi termasuk fungsi setiap deria. Pendek kata semua yang terdapat dalam tubuh manusia samada yang tersiri dari sistem, organ atau pun deria. Manusia itu sendiri terdiri dari pelbagai struktrur yang penuh misi dan matlamat. Persoalannya:

Apakah matlamat kesemua struktur itu untuk manusia?
Apakah matlamat kewujudan manusia?
Mengapa manusia ada di dunia?
Mengapa perlu ada manusia?
Untuk Siapa?
Untuk Apa?

Persoalan ini akan terbongkar pada episod seterusnya.

Rujukan:

1.
Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (1981), Anatomi dan Fisiologi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, August 9, 2007

Matlamat Kehidupan 5- Matlamat Kewujudan 2

Bertemu kembali. Pada kali ini Mukjizat Saintifik akan memperkatakan tentang matlamat kewujudan gunung berapi. Walaupun ia dikenali sebagai bencana alam yang dasyat, tetapi ia juga bertindak sebagai pelindung bagi manusia itu sendiri.

Pada artikel lepas, ada diperkatakan bahawa gunung berapi bertindak memuntahkan bahan-bahan panas dari perut bumi ke permukaan bumi. Hal ini terjadi apabila berlakunya tekanan yang tinggi pada kabin magma. Persoalannya, sekiranya tiada gunung berapi yang sanggup memuntahkan bahan bahang bumi, apa akan terjadi? Sudah tentu bumi akan menerima tekanan yang tinggi lantas ia akan meletup. Sekiranya bumi meletup, ke manakah kita pada waktu itu? Semakin terasakah kita akan matlamat kewujudan gunung berapi?

Selain itu, gunung berapi juga mempunyai peranan besar dalam kejadian gunung-ganang sekaligus menjadikan ia sebagai pasak kepada bumi. Dengan ini lapisan kerak bumi menjadi kukuh dan stabil. Gunung berapi juga berperanan sebagai ejen penting dalam pembentukan daratan. Manakala gunung berapi bawah laut dan di pinggir laut pula mampu membentuk tanah baru hasil magma yang keluar dari perut bumi dan masuk kelaut. Sebagai contoh, kepulauan Hawai terbentuk daripada aktiviti gunung berapi yang terletak di Rabung Tengah Atlantik. Gunung berapi ini mengeluarkan magma, lantas membentuk kepulauan yang boleh didiami oleh manusia.

Tanah yang terbentuk daripada letusan gunung berapi lava bes kaya dengan pelbagai mineral dan sangat sesuai untuk kegiatan pertanian. Contohnya seperti di Dataran Tinggi Deccan di India subur untuk tanaman kapas. Di Jawa, kawasan gunung berapi diteres untuk tanaman padi.


Mata air panas dan geiser gunung berapi pula boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga alternatif iaitu tenaga geotermal. Paip akan ditanam jauh ke dalam tanah untuk memanaskan air bagi menghasilkan wap untuk menjalankan turbine dan seterusnya menghasilkan kuasa eletrik.

Semakin banyak terbongkar semakin payah untuk menafikan tujuan dan matlamat kewujudan gunung berapi. Gunung berapi adalah anugerah yang sering disalah sangka oleh sesetengah manusia. Oleh itu, apakah lagi benda yang wujud di dunia ini yang tiada faedah, tujuan dan matlamat kewujudannya?

Pembongkaran sebenar semakin hampir. Tunggu!...

Rujukan
1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_berapi
2. http://www.geocities.com/semua_hal/FaktaGunungBerapi.htm
3. http://smkdds.tripod.com/geografi/kesan.htm

Saturday, August 4, 2007

Matlamat Kehidupan 4 - Matlamat Kewujudan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada episod ini Mukjizat Saintifik akan membawa kepada para pembaca suatu fakta yang menarik. Apabila disebut gunung berapi maka terbayang di benak kita akan suatu bencana yang menakutkan. Kesannya bukan sedikit kepada kehidupan manusia, malah ada yang perlu dibayar dengan nyawa dan harta benda. Ramai manusia benci akan kehadiran gunung berapi ini. Namun begitu adakah manusia itu sendiri pernah terfikir apa yang berlaku sekiranya fenomena gunung berapi ini tidak berlaku? Pernahkah?

Gunung berapi adalah bukaan, atau rekahan, pada permukaan atau kerak Bumi, yang membenarkan gas, abu, dan batu cair yang panas bebas jauh di dalam bawah permukaan bumi. Ia terdapat dalam pelbagai bentuk. Di antaranya ialah Gunung-api Rekahan (Fissure Volcano), Gunung-api Perisai (Shield Volcano), Gunung-api Kubah (Dome Volcano), Kerucut Bara (Cinder Cone), Gunung-api Campuran (Composite Volcano) dan Kaldera (Caldera).


Gunung berapi terdapat di seluruh dunia. Namun kehadirannya paling ketara dirasai di kawasan Lingkaran Api Pasifik. Ia merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, di mana kerak bumi pecah dan bergeser atau apa yang dikenali sebagai plat tektonik. Gunung berapi akan meletus apabila magmayang terkumpul di kabin atau kamar magma mengalami tekanan yang tinggi dari dasar perut bumi. Ekoran dari itu, gunung berapi meletus dengan membebaskan lava, abu panas dan gas.

Jika direnung secara tipikal, fenomena gunung berapi ,mengundang pelbagai masalah dan bencana. Namun begitu, apabila manusia sendiri membuat kajian dan penyelidikan, maka kewujudan gunung berapi terhadap kehidupan manusia semakin dirasai pentingnya. Terdapat seribu rahmat di sebalik setitis laknat. Kewujudan gunung berapi sungguh bererti walau pun dibenci.

Tunggu untuk sama-sama membongkar matlamat dan rahmat di sebalik kewujudan gunung berapi...

Rujukan

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_berapi
2. http://disaster.elvini.net/volcanic.cgi
3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Lingkaran_Api_Pasifik
4. http://www.geocities.com/semua_hal/FaktaGunungBerapi.htm#Kandungan

Monday, July 16, 2007

Matlamat Kehidupan 3


Salam sejahtera. Bertemu kembali dalam matlamat kehidupan, siri ke 3. Kali ini kita meninjau terhadap spesis tumbuhan yang paling dibenci oleh manusia khususnya petani iaitu "LALANG".Ia biasanya dikaitkan sebagai "tumbuhan perosak" dan selalunya di hapuskan dengan kaedah kawalan rumpai samada meracun, menebas atau mencabut rumpai tersebut.

Walau bagaimana pun,lalang mempunyai kepentingan tertentu. Lalang merupakan sejenis pokok perintis yang akan mengkoloni tanah yang diterangkan dari pokok lain dengan pantas. Ini membantu kerana hakisan tanah akan terhalang. Tanah dan galian yang terdedah akibat kehilangan tumbuhan penutup bumi yang asal dapat dikekalkan oleh lalang yang menghalang hujan lebat menghanyutkan ia ketempat lain.

Dengan itu lalang dapat membantu mengurangkan hakisan tanah dan pada masa yang sama lalang membantu mengekalkan kesuburan tanah.

Masya-Allah! Tabarakallah! Lalang yang merupakan spesis rumpai yang menyusahkan para petani, rupa-rupanya agen penting dalam mengekalkan struktur kesuburan tanih. Bersyukurlah kita semua dengan kehadiran lalang yang mana tanah petani menjadi subur dan tidak terhakis.

Jelas sekali tujuan kehidupan sang lalang.

Pembongkaran diteruskan, sekiranya anda bersama kami...

Rujukan: http://ms.wikipedia.org/wiki/Lalang

Monday, July 2, 2007

Matlamat Kehidupan 2



Bersua kembali.

Mungkin ramai di kalangan kita tidak menyangka bahawa semut mempunyai pertalian yang intim dengan minuman kita. Lebih-lebih lagi air Milo yang selalu kita hirup bersama sarapan. Lebih tepat lagi jika dikatakan bahawa, semut mempunyai hubungan khusus dengan semua produk makanan yang berasaskan "KOKO".

Bagaimana ia boleh terjadi?

Satu artikel yang diterbitkan oleh Lembaga Koko Malaysia menyatakan bahawa:


"Semut hitam koko merupakan agen kawalan biologi yang penting dan merupakan spesies semut yang dominan di ekosistem koko-kelapa. Semut hitam koko mempunyai bilangan permaisuri yang banyak didalam satu koloni (polygyny) dan membentuk unicolonial (superkoloni) yang tidak mempunyai ‘behavioral colony boundaries’. Semut Hitam Koko terdapat dengan banyaknya di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina."

Nah! Jelaskan matlamat dan halatuju kehidupan dan kewujudan semut. Walaupun bukan semua spesis semut yang boleh dimanfaatkan, akan tetapi kewujudan "semut" masih lagi dianggap penting oleh manusia lebih-lebih lagi kepada para pekebun koko. Walaupun kita kurang senang dengan kehadiran semut di gelas Milo kita, ingat! keluarga mereka adalah utusan yang diutus oleh Tuhan untuk memastikan agar koko yang menghasilkan milo ini, sentiasa sihat dan segar.

Baiklah, mungkin ada yang masih tidak berpuas hati dengan hidupan yang dibenci seperti lipas dan beberapa jenis lagi makhluk pengotor. Mungkin kewujudan mereka menyusahkan malah tiada faedah dan sia-sia. Akan tetapi, perlu diingat bahawa setiap benda dan perkara yang diadakan di dunia ini bukan semata-mata untuk bangsa manusia sahaja. Bahkan masing-masing mempunyai pertalian dalam ekologi tersendiri. Mungkin bagi manusia lipas tiada faedah dan gunanya, tetapi mungkin tidak pada makhluk lain. Jadi, janganlah perasan bahawa hanya kita sahaja yang berhak ada dan wujud di dunia ini.

Teruskan bersama kami untuk pembongkaran seterusnya...

Sunday, July 1, 2007

Matlamat Kehidupan 1

Bertemu kembali. Sebelum kita melangkah lebih jauh dalam membincangkan perihal mukjizat saintifik, ada baiknya kita bercerita tentang beberapa perkara penting. Perkara penting itu adalah "Matlamat Kehidupan".

Matlamat hidup meliputi semua hidupan yang ada di muka bumi ini. Setiap benda bernyawa ada matlamat dan hala tuju. Bahkan setiap benda dan perkara juga ada matlamat dan tujuan. Adalah mustahil setiap benda hidup yang wujud di dunia ini tiada matlamat dalam kehidupan mereka.

Kita semua ada menyangka bahawa makhluk bernama semut adalah serangga perosak dan menyusahkan. Kita mungkin berang apabila gula atau minuman kesukaan dikerumuni oleh semut. Mungkin sesetengah daripada kita merasakan bahawa dunia akan aman tanpa semut. Namun begitu, adakah kita terfikir bahawa semut mempunyai pertalian rapat dengan manusia?

Pernahkah kita terfikir?

Tunggu pembongkaran seterusnya...