Pada episod lepas, Mukjizat Saintifik membongkar hikmah disebalik pensyariatan puasa. Mukjizat Saintifik juga ada mendedahkan "kebaikan" dalam amalan berpuasa seperti mana yang ditegaskan dalam ayat al-Quran. Hikmah dan kebaikan berpuasa ada kaitan dengan penyingkiran bahan-bahan toksik dalam tubuh serta peningkatan kadar metabolisme kepada mereka yang berpuasa. Episod kali ini, Mukjizat Saintifik akan mendedahkan dua lagi hikmah dan kebaikan di sebalik amalan berpuasa.
Menurut buku Puasa, Hukum dan Hikmah menurut Islam dan Perspektif Sains Moden karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani, terbitan Teguh Iman Resources, puasa boleh menyebabkan berlakunya pembaharuan sel. Sel-sel yang ada dalam tubuh manusia sentiasa bertukar ganti. Apabila berlaku kematian sel, sel baru akan terbentuk dan proses ini sentiasa berlaku selagi manusia tadi bernyawa. Bilangan sel yang mati dalam satu saat mencecah sehingga 125,000,000 sel dan jumlah sel pengganti melebihi dari sel yang mati itu. Asid amino yang merupakan elemen penting dalam pembentukan sel dalam tubuh manusia menjadi semakin aktif disebabkan amalan berpuasa. Oleh demikian pembaharuan sel menjadi semakin cepat dan sempurna.Kajian tersebut juga telah menjelaskan bahawa puasa separa daripada makanan dan berlapar yang terancang boleh membawa kepada tindak balas yang menjadikan sel-sel menentang kematian dan hidup untuk jangka masa yang lebih panjang. Dalam erti kata lain, puasa boleh dijadikan sebagai ajen kepada awet muda.
Nantikan pembongkaran seterusnya. Teruskan bersama kami...











