Monday, August 14, 2023

Pendirian Ulama Terhadap al-Tafsīr al-‘Ilmī dan al-I‘jaz al-‘Ilmī

Secara ringkasnya para ulama Islam yang membahaskan tentang al-Tafsīr al-‘Ilmī di dalam al-Quran terbahagi kepada dua kumpulan;

Kumpulan pertama : mengharuskan pentafsiran ilmiah terhadap al-Quran, menyeru ke arahnya, melihatnya sebagai satu lembaran baru dan merupakan satu reformasi jalan dakwah kepada Allah SWT serta sebagai petunjuk ke jalan Allah SWT. Kumpulan kedua : berpendapat pentafsiran jenis ini telah mengeluarkan al-Quran daripada objektif sebenar penurunannya, melibatkannya dalam perkara    yang merupakan logik akal manusia semata-mata, serta menjadikannya medan ujian yang ada kalanya benar dan salah.

Dalam perkembangan lain, ketika membicarakan tentang al-I‘jaz al-‘Ilmī, tidak berlaku pertentangan pendapat yang ketara dalam kalangan ulama bahkan majoriti ulama Islam hampir sepakat menyatakan penerimaan mereka terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī. Hal ini berlaku disebabkan adanya usaha menggariskan kaedah menjadikan al-I‘jaz al-‘Ilmī satu bidang ilmu baru yang khusus berdasarkan disiplin, syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu yang telah disepakati. Lebih- lebih lagi, kaedah ini bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Sunday, August 14, 2022

Pengenalan Mukjizat al-Quran Menurut al-Zindanī

Agama Islam keseluruhannya bergantung kepada ajaran Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengutuskan para rasul untuk mengajar manusia mengenali Tuhan mereka, menyeru mereka supaya beribadat kepadaNya dan menerangkan hikmah penciptaan mereka. Begitu juga untuk menyelamatkan mereka daripada kecelakaan perselisihan, menegakkan agama Allah SWT dalam kalangan manusia dan berhukum berdasarkan wahyu Allah SWT.

Para rasul juga diutuskan untuk menyampaikan berita gembira tentang nikmat yang Allah SWT sediakan kepada orang mukmin dan memberi amaran tentang balasan azab kepada orang kafir kerana kekufuran mereka. Begitu juga untuk menegakkan hujah Tuhan ke atas manusia dan supaya para rasul menjadi teladan kepada orang yang beriman.

Akan tetapi, para rasul utusan dalam dakwah mereka akan berhadapan dengan penentangan manusia sebagaimana yang telah dihadapi oleh semua rasul. Selagi kebenaran para rasul tidak dibuktikan, maka hujah ke atas manusia tidak dapat ditegakkan dan manusia akan mempunyai alasan untuk menolak risalah yang dibawa oleh para rasul. 

Allah SWT Maha Mengetahui perkara tersebut, lalu Allah SWT juga mengurniakan kepada para rasul bukti dan dalil yang di namakan ayat atau bayyinat. Manusia pula menamakannya sebagai mukjizat. Mukjizat ini menjadi bukti kepada para rasul tentang kebenaran risalah yang dibawa, sebagai tanda kenabian dan mereka adalah penyampai risalah yang benar yang diutuskan oleh Allah SWT.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Saturday, August 14, 2021

AL-I ‘JAZ AL-‘ILMI MENURUT AL-ZINDANI

 


Pendahuluan
Istilah al-I‘jaz al-‘Ilmī atau Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan al-Sunnah bermaksud suatu ilmu eksperimen yang datang untuk mendalami kajian-kajian yang luas dalam pelbagai bidang melalui bantuan alat-alat canggih dan selepas beberapa siri pengembaraan ilmiah yang mencabar berserta para pengkaji yang silih berganti, maka penemuan demi penemuan telah menyerlahkan sedikit demi sedikit subjek kajian.
 
Apabila fakta tentang subjek kajian tersebut lengkap dan sempurna, tiba- tiba fakta tersebut didapati telah dinyatakan di dalam al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun lalu. Justeru itu, manusia mengetahui bahawa al-Quran diturunkan dengan ilmu Allah SWT. Demikian itu membuktikan secara yakin dan pasti bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT dan tiada percanggahan antara agama yang benar (al-Dīn) dengan ilmu yang benar (al-‘Ilm).
 
Oleh demikian, perlu diketengahkan elemen-elemen yang berkaitan dengan kefahaman al-Zindanī terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī untuk menyerlahkan sumbangan beliau dalam kajian bidang tersebut.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Friday, August 14, 2020

Ciri-Ciri Perbezaan di antara ‘Puasa Perubatan’ dan Puasa Syarii Islam

Puasa Syarii Islam ialah : Seseorang yang berpuasa, sepanjang tempoh tersebut, menahan dirinya daripada makan, minum dan bersetubuh untuk satu jangka masa; daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Manakala ‘Puasa Perubatan’ ialah : Seseorang yang berpuasa sepanjang tempoh tersebut, hanya menahan dirinya daripada makan  untuk satu jangka masa yang kadang-kadang berlarutan sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan; ia  di antara perkara yang membawa kepada kerosakan nisbah garam dan mineral di dalam darah serta cecair-cecair tubuh, kadangkala seseorang yang menjalani proses berpuasa melalui cara ini akan ditimpa penyakit-penyakit berbahaya berkemungkinan akan menyebabkan kematian. Oleh sebab itu, proses ‘Puasa Perubatan’ tidak dibenarkan kecuali dengan pengawasan(dipantau) oleh pakar-pakar perubatan.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Wednesday, August 14, 2019

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - Akhir

Puasa dianggap sebagai suatu pencegahan daripada penyakit otak dan jiwa serta telah terbukti kesannya terhadap penyakit ‘split personality’. Dr. Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow telah mengisyaratkan kepada perkara tersebut dengan kata-katanya: “The hunger treatment gives the entire nervous system and the brain a rest. The body is cleansed of poisons, and the tissues and the various glands are renovated. Resting the brain forms the basis for the treatment of various neuropsychiatric disorders. Treatment through fasting is an internal operation, without a scalpel”.


Maksud: “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada toksin-toksin, dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan ‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan pembedahan dalaman tanpa melalui  proses pembedahan”.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Monday, August 13, 2018

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 5

Ia dapat mengurangkan dan menenangkan lonjakan naluri seks, yang demikian itu dapat melindungi tubuh daripada ketidakstabilan rohani dan jasmani. Selain itu, Rasulullah S.A.W telah memerintahkan pemuda-pemuda yang tidak mampu berkahwin supaya berpuasa. Baginda S.A.W bersabda:

 

يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ؛ فإنَّه له وِجَاءٌ.


Maksud: “ Wahai pemuda-pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu untuk melakukan persetubuhan, maka hendaklah dia berkahwin. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia adalah pendinding”. Makna ‘pendinding’ ialah perlindungan.

[HR al-Bukhari, no. 5065; Muslim, no. 3398]


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Monday, August 14, 2017

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 4

Ia melindungi daripada bahaya-bahaya toksin yang terkumpul dalam tubuh dan tisu-tisunya.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani