Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hikmah Penciptaan Manusia

>> Friday, July 2, 2010

Muqaddimah



Firman Allah SWT :



{وَالْعَصْرِ}(العصر/1).

{إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ}(العصر/2).

{إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ }(العصر/3).


[103.1] Demi Masa!

[103.2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

[103.3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.



Allah SWT bersumpah dengan masa yang merupakan salah satu makhluk-Nya. Kita sekarang berada di penghujung tahun sama ada Hijrah atau Masihi. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut tahun baru dan meninggalkan tahun yang telah berlalu. Dengan berlalunya tahun tersebut, maka berlalulah umur setiap manusia.


Sesiapa yang mempunyai kadar umur tertentu pada akhir tahun yang lepas, maka telah berkurangan daripada umurnya setahun. Sesiapa yang pada hari ini berada dalam umur remaja, ada yang berada dalam umur dewasa, di sana juga ada yang masih kanak-kanak, ada yang masih di peringkat janin dalam perut ibu seterusnya ada yang masih di alam ghaib.


Berlalu tahun ke tahun dan keluar generasi demi generasi kepada kewujudan secara berterusan, kemudian mereka saling meninggalkan antara satu sama lain. Maka berakhirlah umur-umur sebagaimana berakhirnya perhitungan tahun. Lalu berpindahlah manusia daripada tempat beramal ke tempat pembalasan.


Setiap seorang daripada kita akan meninggalkan kesemua yang dicintai yang diambil berat supaya terus kekal bersamanya. Segala miliknya di dunia pasti ditinggalkan. Firman Allah SWT:


{وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُمْ مَا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ وَمَا نَرَى مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمْ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ لَقَدْ تَقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُمْ مَا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ}(الأنعام/94).


[6.94] Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).


Hukum lampau sama ada ke atas raja-raja, pemerintah-pemerintah, fakir miskin, daripada makhluk Allah SWT di atas muka bumi adalah secara sama rata. Tiada seorang yang terkecuali walau sekuat mana sekali pun, sebanyak mana harta dan juga setinggi mana pangkat yang disandangi. Allah merupakan yang Maha Berkuasa memaksakan kematian ke atas mereka serta menghadapkan mereka kepada-Nya untuk dihisab. Firman Allah SWT:



{إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ }(الغاشية/25).

{ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ }(الغاشية/26).


[88.25] Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

[88.26] Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.


Apabila nyawa telah sampai di halkum, kita akan mengetahui hakikat dunia dan nilainya. Pada saat itu, kita akan mengetahui bahawa perkara paling penting yang mesti diambil berat secara serius, menjuruskan segala kehidupan adalah semata-mata kerananya dan mati pula adalah untuknya, ia adalah merupakan urusan yang terhasil dengan menyedari juga melaksanakan hikmah daripada kewujudan kita dalam kehidupan.


Demikianlah urusan yang paling besar, sesungguhnya kita telah diciptakan supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita diciptakan untuk melaksanakan kehendak-Nya melalui kewujudan di dunia ini.


Semasa nazak, kita akan bertanya kepada diri sendiri, adakah aku telah memanfaatkan daripada kehidupan yang telah berlalu? Adakah aku telah memanfaatkan hari-hari, malam-malam, dan tahun demi tahun? Adakah aku telah bersedia untuk bertemu Tuhanku atau pun aku telah berpaling, lupa, buat-buat lupa, mengikut hawa nafsu syahwat, menyimpang daripada urusan yang sangat penting yang kerananya aku dicipta?


Sedangkan sekarang ini, sedang menuju ke tempat dihitung amalan. Setiap sesuatu di dunia dan benda-benda yang Allah telah kurniakan adalah bertujuan untuk pengabdian kepada-Nya. Kita mestilah menjadikan (kurniaan tersebut) tunduk kepada perintah Allah SWT agar kita tidak keluar daripada dunia ini kecuali kita telah melaksanakan perintah Tuhan Penguasa alam. Firman Allah SWT:



{قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(الأنعام/162).

{لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ}(الأنعام/163).


[6.162] Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[6.163] Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".


Kita tidak akan menyekutukan bersama Allah sesuatu pun di dalam ibadat. Allah yang Esa menciptakan kita, memberi rezeki, menciptakan kesemua makhluk, maka hanya Dialah yang layak disembah tanpa disekutukan dengan-Nya sesuatu pun.


0 comments:

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP