Hikmah Penciptaan Manusia

>> Saturday, July 10, 2010

Jika ditanyakan kepada mana-mana individu apakah fungsi mata, telinga, akal, tangan, kaki dan kesemua anggota badan manusia, mereka akan menyatakan satu persatu fungsi anggota tersebut. Tidak ada sesuatu pun pada manusia daripada sel-sel yang seni sehinggalah kesemua anggota badan kecuali di sana ada tugas dan fungsi tertentu.



Persoalannya, kalaulah kesemua bahagian anggota itu mempunyai tugasan tertentu, maka apakah fungsi dan tugas manusia yang terdiri daripada anggota yang memang diketahui mempunyai tugas dan fungsi itu?


Bagi kita penganut Islam, jawapan kepada persoalan ini telah dijawab oleh Allah di dalam Al-Quran melalui dakwah para rasul. Tetapi kaum Kuffar apabila ditanya tentang hikmah kewujudan mereka di atas muka bumi, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.


Kita akan mendapati daripada mereka jawapan yang pelbagai. Tetapi kebanyakan mereka akan mengatakan kehidupan ini adalah setakat di dunia kemudian lenyap begitu sahaja. Apa yang menghairankan, orang kafir yang belajar ilmu kedoktoran yang mengetahui fungsi dan tugas setiap juzuk tentang diri manusia pun tetap tidak dapat menjawab apakah fungsi dan tugas seorang manusia secara keseluruhan!!!



Jikalau kita mengatakan kepada mereka, sesungguhnya para doktor kamu adalah sia-sia dalam kerjaya mereka, mereka pasti akan mengejek kata-kata ini dengan berkata: adakah sesuatu yang sia-sia bagi orang yang merawat penyakit pada mata , mulut, perut, hati, apabila ia diserang penyakit? Sesungguhnya para doktor kami lebih tinggi untuk dinisbahkan kepada mereka dengan sia-sia.



Kita mengatakan kepada mereka kembali: kamu benar. Sesungguhnya orang yang membaiki kerosakan, merawat penyakit pada anggota tidak melakukan kerja sia-sia. Akan tetapi, bagaimana pula sangkaan kamu terhadap Pencipta mata, mulut, perut, hati dan manusia itu sendiri? Adakah hanya sia-sia dalam ciptaan-Nya?



Sesungguhnya Allah SWT Maha Mulia dan Maha Tinggi untuk dinisbahkan kepada-Nya dengan sia-sia. Firman Allah SWT:



{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُونَ}(المؤمنون/115).


[23.115] "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

0 comments:

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP