Wednesday, August 14, 2024

Kepentingan Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī

Kitab Ta’ṣīl al-I‘jaz al-‘Ilmī fī al-Qur’an wa al-Sunnah oleh al-Zindanī telah mengubah dimensi dan perspektif para ulama terhadap al-I‘jāz al-‘Ilmī.
 
Walau bagaimanapun dalam keghairahan sesetengah penulis tentang kajian al-I‘jaz al-‘Ilmī yang kurang peka terhadap kepentingan kaedah-kaedah al-I‘jaz al-‘Ilmī telah menyebabkan mereka tersasar daripada memahami konsep sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.
 
Kesan penulisan yang tersasar ini bukan sahaja mencemarkan imej Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap wahyu, bahkan boleh mengaburkan bukti kebenaran agama Islam untuk manusia pada zaman ini.
 
Oleh sebab itu, perlu perlu difahami definisi al-I‘jaz al-‘Ilmī supaya perbahasan dan kajian yang dilakukan tidak lari daripada skop dan fokus sebenar al-I‘jaz al-‘Ilmī.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Monday, August 14, 2023

Pendirian Ulama Terhadap al-Tafsīr al-‘Ilmī dan al-I‘jaz al-‘Ilmī

Secara ringkasnya para ulama Islam yang membahaskan tentang al-Tafsīr al-‘Ilmī di dalam al-Quran terbahagi kepada dua kumpulan;

Kumpulan pertama : mengharuskan pentafsiran ilmiah terhadap al-Quran, menyeru ke arahnya, melihatnya sebagai satu lembaran baru dan merupakan satu reformasi jalan dakwah kepada Allah SWT serta sebagai petunjuk ke jalan Allah SWT. Kumpulan kedua : berpendapat pentafsiran jenis ini telah mengeluarkan al-Quran daripada objektif sebenar penurunannya, melibatkannya dalam perkara    yang merupakan logik akal manusia semata-mata, serta menjadikannya medan ujian yang ada kalanya benar dan salah.

Dalam perkembangan lain, ketika membicarakan tentang al-I‘jaz al-‘Ilmī, tidak berlaku pertentangan pendapat yang ketara dalam kalangan ulama bahkan majoriti ulama Islam hampir sepakat menyatakan penerimaan mereka terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī. Hal ini berlaku disebabkan adanya usaha menggariskan kaedah menjadikan al-I‘jaz al-‘Ilmī satu bidang ilmu baru yang khusus berdasarkan disiplin, syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu yang telah disepakati. Lebih- lebih lagi, kaedah ini bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Sunday, August 14, 2022

Pengenalan Mukjizat al-Quran Menurut al-Zindanī

Agama Islam keseluruhannya bergantung kepada ajaran Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengutuskan para rasul untuk mengajar manusia mengenali Tuhan mereka, menyeru mereka supaya beribadat kepadaNya dan menerangkan hikmah penciptaan mereka. Begitu juga untuk menyelamatkan mereka daripada kecelakaan perselisihan, menegakkan agama Allah SWT dalam kalangan manusia dan berhukum berdasarkan wahyu Allah SWT.

Para rasul juga diutuskan untuk menyampaikan berita gembira tentang nikmat yang Allah SWT sediakan kepada orang mukmin dan memberi amaran tentang balasan azab kepada orang kafir kerana kekufuran mereka. Begitu juga untuk menegakkan hujah Tuhan ke atas manusia dan supaya para rasul menjadi teladan kepada orang yang beriman.

Akan tetapi, para rasul utusan dalam dakwah mereka akan berhadapan dengan penentangan manusia sebagaimana yang telah dihadapi oleh semua rasul. Selagi kebenaran para rasul tidak dibuktikan, maka hujah ke atas manusia tidak dapat ditegakkan dan manusia akan mempunyai alasan untuk menolak risalah yang dibawa oleh para rasul. 

Allah SWT Maha Mengetahui perkara tersebut, lalu Allah SWT juga mengurniakan kepada para rasul bukti dan dalil yang di namakan ayat atau bayyinat. Manusia pula menamakannya sebagai mukjizat. Mukjizat ini menjadi bukti kepada para rasul tentang kebenaran risalah yang dibawa, sebagai tanda kenabian dan mereka adalah penyampai risalah yang benar yang diutuskan oleh Allah SWT.

Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Saturday, August 14, 2021

AL-I ‘JAZ AL-‘ILMI MENURUT AL-ZINDANI

 


Pendahuluan
Istilah al-I‘jaz al-‘Ilmī atau Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan al-Sunnah bermaksud suatu ilmu eksperimen yang datang untuk mendalami kajian-kajian yang luas dalam pelbagai bidang melalui bantuan alat-alat canggih dan selepas beberapa siri pengembaraan ilmiah yang mencabar berserta para pengkaji yang silih berganti, maka penemuan demi penemuan telah menyerlahkan sedikit demi sedikit subjek kajian.
 
Apabila fakta tentang subjek kajian tersebut lengkap dan sempurna, tiba- tiba fakta tersebut didapati telah dinyatakan di dalam al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun lalu. Justeru itu, manusia mengetahui bahawa al-Quran diturunkan dengan ilmu Allah SWT. Demikian itu membuktikan secara yakin dan pasti bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT dan tiada percanggahan antara agama yang benar (al-Dīn) dengan ilmu yang benar (al-‘Ilm).
 
Oleh demikian, perlu diketengahkan elemen-elemen yang berkaitan dengan kefahaman al-Zindanī terhadap al-I‘jaz al-‘Ilmī untuk menyerlahkan sumbangan beliau dalam kajian bidang tersebut.


Rujukan:

Sumbangan `Abd al-Majid al-Zindani dalam bidang al-I`Jaz al-`Ilmi : Kajian Terhadap Kitab Ta'sil al-I`jaz al-`Ilmi fi al-Qur'an wa al-Sunnah

Friday, August 14, 2020

Ciri-Ciri Perbezaan di antara ‘Puasa Perubatan’ dan Puasa Syarii Islam

Puasa Syarii Islam ialah : Seseorang yang berpuasa, sepanjang tempoh tersebut, menahan dirinya daripada makan, minum dan bersetubuh untuk satu jangka masa; daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Manakala ‘Puasa Perubatan’ ialah : Seseorang yang berpuasa sepanjang tempoh tersebut, hanya menahan dirinya daripada makan  untuk satu jangka masa yang kadang-kadang berlarutan sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan; ia  di antara perkara yang membawa kepada kerosakan nisbah garam dan mineral di dalam darah serta cecair-cecair tubuh, kadangkala seseorang yang menjalani proses berpuasa melalui cara ini akan ditimpa penyakit-penyakit berbahaya berkemungkinan akan menyebabkan kematian. Oleh sebab itu, proses ‘Puasa Perubatan’ tidak dibenarkan kecuali dengan pengawasan(dipantau) oleh pakar-pakar perubatan.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Wednesday, August 14, 2019

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - Akhir

Puasa dianggap sebagai suatu pencegahan daripada penyakit otak dan jiwa serta telah terbukti kesannya terhadap penyakit ‘split personality’. Dr. Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow telah mengisyaratkan kepada perkara tersebut dengan kata-katanya: “The hunger treatment gives the entire nervous system and the brain a rest. The body is cleansed of poisons, and the tissues and the various glands are renovated. Resting the brain forms the basis for the treatment of various neuropsychiatric disorders. Treatment through fasting is an internal operation, without a scalpel”.


Maksud: “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada toksin-toksin, dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan ‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan pembedahan dalaman tanpa melalui  proses pembedahan”.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Monday, August 13, 2018

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 5

Ia dapat mengurangkan dan menenangkan lonjakan naluri seks, yang demikian itu dapat melindungi tubuh daripada ketidakstabilan rohani dan jasmani. Selain itu, Rasulullah S.A.W telah memerintahkan pemuda-pemuda yang tidak mampu berkahwin supaya berpuasa. Baginda S.A.W bersabda:

 

يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ؛ فإنَّه له وِجَاءٌ.


Maksud: “ Wahai pemuda-pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu untuk melakukan persetubuhan, maka hendaklah dia berkahwin. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia adalah pendinding”. Makna ‘pendinding’ ialah perlindungan.

[HR al-Bukhari, no. 5065; Muslim, no. 3398]


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Monday, August 14, 2017

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 4

Ia melindungi daripada bahaya-bahaya toksin yang terkumpul dalam tubuh dan tisu-tisunya.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Sunday, August 14, 2016

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 3

Ia melindungi tubuh daripada pembentukan batu karang kerana kadar natrium dalam darah akan ditingkatkan lalu ia akan menghalang penghabluran garam-garam kalsium. Pertambahan unsur polina dalam air kencing akan membantu untuk menghalang penyerapan garam-garam air kencing yang akan membentuk batu-batu kecil di saluran air kencing.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Friday, August 14, 2015

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 2

Ia melindungi daripada penyakit kegemukan dan bahaya-bahayanya: kegemukan terhasil daripada kegagalan di dalam pembentukan makanan atau faktor tekanan suasana atan jiwa atau sosial, dan kadangkala kesemua faktor ini bergabung untuk menghasilkan kegemukan. Oleh sebab itu, kegemukan boleh dihalang dengan berpuasa; melalui ketenangan jiwa dan fikiran hasil daripada suasana keimanan yang melingkungi orang-orang yang berpuasa.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Thursday, August 14, 2014

Faedah-Faedah Pencegahan Bagi Puasa - 1

Ia menguatkan sistem imun dan melindungi tubuh daripada banyak penyakit seperti: indeks tugas sel limfa bertambah baik sebanyak sepuluh kali ganda. Sel-sel yang bertanggungjawab untuk pertahanan semula jadi akan bertambah sebagaimana akan bertambah kadar sesetengah antibodi bagi sebahagian hidupan-hidupan makro yang menyebabkan penyakit di dalam tubuh. Begitu juga tindak balas pertahanan akan diaktifkan hasil pertambahan protein lemak tak tepu.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani


Wednesday, August 14, 2013

Bentuk-Bentuk Mukjizat Berkaitan Penegahan Orang Yang Berpuasa Daripada Marah


Ilmu Sains telah menemui bahawa orang yang berpuasa sekiranya dia marah lalu memberikan reaksi tegang, maka perembesan hormon-hormon adrenalin dalam darah akan meningkat dengan kadar pertambahan yang besar mencecah 20 atau 30 kali ganda daripada kadar biasa ketika tersangat marah atau ketika pertengkaran.


Jika ini berlaku diawal hari puasa, sewaktu proses penghadaman dan penyerapan, maka proses penghadaman dan penyerapan makanan akan terganggu, ditambah dengan gangguan umum pada seluruh sistem tubuh.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Tuesday, August 14, 2012

Kenapa Berbuka Puasa Dengan Buah Tamar?


Buah tamar dikira sebagai sebahagian daripada makanan yang terkaya dengan gula glukosa. Jadi, ia adalah makanan terbaik yang diberikan kepada tubuh ketika itu. Buah tamar mengandungi nisbah kandungan gula yang tinggi berkitar di antara 75-87%, glukosa membentuk 55% daripadanya, manakala fruktosa sebanyak 45%, ditambah pula nisbah daripada protein-protein, lemak, sebahagian vitamin dan mineral. Fruktosa akan bertukar kepada glukosa dengan tersangat cepat lalu ia segera diserap secara langsung daripada sistem penghadaman bagi menghilangkan keadaan terdesak tubuh yang memerlukan tenaga.


Kesemua vitamin yang terdapat dalam buah tamar mempunyai peranan yang aktif terhadap proses-proses pembentukan makanan dan ia mempunyai  kesan penenang saraf-saraf.


Mineral-mineral pula mempunyai peranan utama di dalam pembentukan enzim-enzim penting dalam proses-proses aktif tubuh. Ia juga mempunyai peranan penting terhadap penguncupan dan penegangan otot-otot serta pengimbangan asid utama dalam tubuh. Lalu, dengan perkara demikian, sebarang ketegangan otot atau saraf akan hilang dan keaktifan dan ketenangan akan meliputi ke seluruh tubuh.


Rujukan: 

Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Thursday, June 30, 2011

Sebahagian Faedah Puasa Syar'i Islam

1.Pembersihan daripada toksin-toksin dalam badan.

Tubuh manusia terdedah kepada banyak bahan-bahan berbahaya dan toksin-toksin yang kadang-kadang tertimbun pada tisu-tisunya. Kebiasaannya toksin-toksin ini masuk ke dalam tubuh melalui makanan yang dimakan dalam kuantiti yang banyak. Sumber-sumber rujukan perubatan menyatakan bahawa hampir kesemua makanan pada zaman ini mengandungi kuantiti kecil bahan-bahan bertoksin. Bahan-bahan ini ditambah dalam makanan sewaktu penyediaan dan penyimpanan seperti perisa-perisa, pewarna-pewarna, anti-anti pengoksidaan, bahan-bahan pengawet serta tambahan-tambahan bahan kimia daripada tumbuhan atau haiwan. 


Ini ditambah dengan toksin-toksin yang kita hirup daripada ekzos-ekzos kenderaan, gas-gas kilang, toksin-toksin ubat-ubatan yang dimakan oleh manusia tanpa pengawasan sehinggalah kepada yang lain-lain, daripada toksin-toksin hidupan mikro yang mendiami tubuh kita dalam jumlah yang melampaui gambaran dan bilangan. Akhir sekali, sisa-sisa pembakaran dalaman sel-sel yang mengalir di dalam darah sebagai gas karbon dioksida, urea, keratin, ammonia, sulfur-sulfur, asid urik, sisa-sisa makanan yang telah dihadamkan serta gas-gas beracun yang terhasil daripada penapaian dan pembusukan makanan seperti indole, skatole dan fynole. 


Allah S.W.T telah menjadikan untuk tubuh manusia jalan untuk pelepasan dan pembebasan daripada toksin-toksin ini. Hati yang merupakan organ utama berfungsi membersihkan tubuh daripada toksin-toksin. Namun, hati mempunyai daya usaha dan tenaga yang terhad. Kadangkala sel-selnya ditimpa kepincangan disebabkan faktor-faktor penyakit atau faktor-faktor semula jadi seperti lanjut usia. Lalu, sebahagian bahan bertoksin ini mendap dalam tisu-tisu tubuh khususnya pada tempat menyimpan lemak.


Ketika berpuasa, sejumlah besar daripada lemak-lemak yang tersimpan di dalam tubuh, akan dipindahkan ke hati untuk dioksidakan dan dimanfaatkan. Juga dikeluarkan toksin-toksin yang larut pada hati lalu dihilangkan sifat toksin tersebut. Seterusnya, hati akan membuangnya bersama kumuhan-kumuhan tubuh.


Oleh sebab proses-proses pemusnahan yang berlaku di hati ketika berpuasa melebihi kadar proses-proses pembinaan asimilasi makanan, maka peluang untuk membuang toksin-toksin yang tertimbun dalam sel-sel badan akan bertambah dalam jangka masa ini dan akan bertambah juga keaktifan sel-sel hati di dalam menghilangkan sifat toksin daripada kebanyakan bahan bertoksin. Demikianlah, puasa diterima pakai sebagai akuan kesihatan ‘selamat’ untuk organ-organ tubuh.


Macfadden; beliau di antara pakar perubatan antarabangsa yang mengambil berat tentang kajian berkaitan puasa dan kesan-kesannya berkata: “Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekali pun dia tidak sakit; kerana toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan berkumpul di dalam badan lalu menjadikannya seperti orang sakit dan membebankannya, maka keaktifannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin tersebut dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak pernah dialami sebelum itu.

2.Pembersihan daripada lemak-lemak. 

Kegemukan adalah berkait rapat dengan pengambilan makanan yang terlampau banyak, khususnya makanan-makanan yang kaya dengan lemak, ditambah dengan kemudahan-kemudahan hidup yang merehatkan. Kegemukan adalah satu masalah yang tersebar luas. Kajian mendapati bahawa kegemukan akan diiringi dengan peningkatan bahaya penyakit-penyakit koronari jantung seperti kegagalan jantung, strok, penyakit koronari arteri dan penyakit tersumbat arteri-arteri yang mengelilingi jantung.


Puasa Syarii Islam dianggap sebagai contoh unik bagi pencegahan dan rawatan kegemukan. Dalam masa yang sama, pemakanan yang sederhana dan halangan daripadanya disertai dengan kecergasan dan pergerakan menjadi dua faktor berkesan di dalam mengurangkan berat. Demikian itu, ialah dengan penambahan tahap metabolisme makanan selepas hidangan sahur dan perpindahan lemak yang tersimpan untuk pengoksidaan di dalam menghasilkan tenaga yang lazim selepas separuh waktu siang. 


Oleh itu, Puasa Syarii Islam merupakan suatu pemeliharaan melalui hidangan sahur dan kesederhanaan di dalam pemakanan, disertai pergerakan dan keaktifan semasa berpuasa, dapat menghasilkan satu sistem pemakanan yang berjaya untuk merawat kegemukan.


Manakala sistem ‘Puasa Perubatan’ yang panjang melalui halangan menyeluruh daripada makan, akan membawa kepada penurunan metabolisme hasil daripada berhentinya sistem saraf Sympathetic. Keseluruhan berat yang hilang ialah air, manakala tubuh kekal menyimpan tenaga dan garam.


3.Pembaharuan sel.

Kebijaksanaan Allah menuntut berlakunya perubahan dan penggantian bagi setiap benda mengikut disiplin yang tetap. Disiplin ini telah menentukan untuk tubuh manusia, kandungan sel-selnya akan diganti sekurang-kurangnya setiap enam bulan dan sesetengah tisu akan diperbaharui sel-selnya dalam jangka masa yang singkat; dikira dengan hari atau minggu. Sel-sel berkenaan akan menjadi tua dan kemudiannya mati, lalu sel-sel lain yang baru akan terbentuk untuk menyambung perjalanan hidup sehingga datang ajal manusia tersebut. Bilangan sel yang mati dalam tubuh manusia dalam satu saat mencecah sehingga 125,000,000 sel dan lebih daripada jumlah ini diperbaharui pada setiap hari -pada peringkat tumbesaran, juga pada pertengahan umur yang kemudiannya akan menyusut dan berkurangan jumlah bilangan sel-sel yang diperbaharui apabila semakin lanjut usia.


Asid amino adalah bahan yang membentuk binaan asas pada sel-sel. Di dalam Puasa Syarii Islam, asid-asid ini yang datang daripada makanan akan berkumpul bersama asid-asid yang terhasil daripada proses pemusnahan di tempat berhimpun asid-asid amino di hati. Di dalamnya akan berlaku peralihan dalaman yang berskala luas dan disempurnakan ulangan pengagihan asid amino selepas proses peralihan dalaman serta penggabungannya dalam juzuk-juzuk kecil yang lain. Daripadanya akan diperbuat semua jenis protein sel, protein plasma, hormon serta benda-benda lain daripada gabungan-gabungan aktif. Ini akan memberikan blok-blok bagi sel-sel baru menyempurnakan binaannya, meningkatkan keupayaan tugasnya yang hasilnya akan kembali kepada tubuh manusia berupa kesihatan, perkembangan dan keafiatan.


Perkara ini tidak berlaku dalam ‘Puasa Perubatan’ disebabkan pemusnahan berterusan kandungan-kandungan sel dan terhalang daripada asid-asid amino utama. Apabila sebahagian blok-blok lama kembali untuk pembaikan semula, keupayaannya akan menjadi lemah seterusnya tubuh akan terdedah kepada penyakit-penyakit atau kerosakan. Kekurangan satu asid amino asas yang masuk dalam struktur binaan protein khas akan menyebabkan protein ini tidak terbentuk.


Apa yang lebih menakjubkan, baki asid-asid amino yang terbentuk daripada protein ini akan musnah dan binasa.


4.Melambatkan proses penuaan.

Majalah Britain, Nature telah mendedahkan satu kajian saintifik bahawa puasa yang terancang atau separa akan menyebabkan keaktifan pada gen-gen yang berfungsi untuk merembeskan hormon-hormon yang akan membantu sel-sel untuk melambatkan proses penuaan terhadap manusia dan juga hormon-hormon yang akan menambahkan keaktifan tubuh. Hasil-hasil daripada kajian ini telah mengenal pasti bahawa proses penyediaan makanan dan penghadaman akan menghasilkan bahan-bahan beracun yang akan merosakkan sel-sel. Manakala pengurangan kuantiti makanan disertai dengan melakukan pergerakan yang banyak untuk membakar tenaga akan meningkatkan kesihatan dan dapat menghentikan proses pemusnahan. Seterusnya ia akan menambah kebarangkalian meningkatnya purata umur.

Kajian telah menjelaskan bahawa puasa separa daripada makanan dan ‘Puasa Perubatan’ yang terancang boleh membawa kepada tindak balas yang menjadikan sel-sel bertindak menentang kematiannya dan dapat hidup untuk jangka masa yang lebih panjang. Kajian berkenaan menyatakan lagi bahawa kunci kesihatan terealisasi pada pembatasan pengambilan makanan (Puasa Perubatan separa atau terancang) di dalam sistem pemakanan sepanjang hayat dan semampu mungkin. Ia adalah di antara perkara yang memberikan kesan positif dan membantu melambatkan proses penuaan. 

Rujukan: 
Buku Keajaiban Puasa oleh Shaykh 'Abd al-Majid al-Zindani

Thursday, July 29, 2010

Buku Keajaiban PUASA Mukjizat dan Pembuktian Saintifik

Oleh
Shaykh 'Abd al-Majid Al-Zindani




Sinopsis:
-->
Buku ini mengutarakan tentang keserasian ibadat puasa dengan konsep sains perubatan moden. Semoga ia dapat memberikan suntikan baru dalam menjalani ibadat puasa.
-->

Saturday, July 10, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Jika ditanyakan kepada mana-mana individu apakah fungsi mata, telinga, akal, tangan, kaki dan kesemua anggota badan manusia, mereka akan menyatakan satu persatu fungsi anggota tersebut. Tidak ada sesuatu pun pada manusia daripada sel-sel yang seni sehinggalah kesemua anggota badan kecuali di sana ada tugas dan fungsi tertentu.


Persoalannya, kalaulah kesemua bahagian anggota itu mempunyai tugasan tertentu, maka apakah fungsi dan tugas manusia yang terdiri daripada anggota yang memang diketahui mempunyai tugas dan fungsi itu?


Bagi kita penganut Islam, jawapan kepada persoalan ini telah dijawab oleh Allah di dalam Al-Quran melalui dakwah para rasul. Tetapi kaum Kuffar apabila ditanya tentang hikmah kewujudan mereka di atas muka bumi, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.


Kita akan mendapati daripada mereka jawapan yang pelbagai. Tetapi kebanyakan mereka akan mengatakan kehidupan ini adalah setakat di dunia kemudian lenyap begitu sahaja. Apa yang menghairankan, orang kafir yang belajar ilmu kedoktoran yang mengetahui fungsi dan tugas setiap juzuk tentang diri manusia pun tetap tidak dapat menjawab apakah fungsi dan tugas seorang manusia secara keseluruhan!!!



Jikalau kita mengatakan kepada mereka, sesungguhnya para doktor kamu adalah sia-sia dalam kerjaya mereka, mereka pasti akan mengejek kata-kata ini dengan berkata: adakah sesuatu yang sia-sia bagi orang yang merawat penyakit pada mata , mulut, perut, hati, apabila ia diserang penyakit? Sesungguhnya para doktor kami lebih tinggi untuk dinisbahkan kepada mereka dengan sia-sia.



Kita mengatakan kepada mereka kembali: kamu benar. Sesungguhnya orang yang membaiki kerosakan, merawat penyakit pada anggota tidak melakukan kerja sia-sia. Akan tetapi, bagaimana pula sangkaan kamu terhadap Pencipta mata, mulut, perut, hati dan manusia itu sendiri? Adakah hanya sia-sia dalam ciptaan-Nya?



Sesungguhnya Allah SWT Maha Mulia dan Maha Tinggi untuk dinisbahkan kepada-Nya dengan sia-sia. Firman Allah SWT:



{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُونَ}(المؤمنون/115).


[23.115] "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Friday, July 2, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Muqaddimah



Firman Allah SWT :



{وَالْعَصْرِ}(العصر/1).

{إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ}(العصر/2).

{إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ }(العصر/3).


[103.1] Demi Masa!

[103.2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

[103.3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.



Allah SWT bersumpah dengan masa yang merupakan salah satu makhluk-Nya. Kita sekarang berada di penghujung tahun sama ada Hijrah atau Masihi. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut tahun baru dan meninggalkan tahun yang telah berlalu. Dengan berlalunya tahun tersebut, maka berlalulah umur setiap manusia.


Sesiapa yang mempunyai kadar umur tertentu pada akhir tahun yang lepas, maka telah berkurangan daripada umurnya setahun. Sesiapa yang pada hari ini berada dalam umur remaja, ada yang berada dalam umur dewasa, di sana juga ada yang masih kanak-kanak, ada yang masih di peringkat janin dalam perut ibu seterusnya ada yang masih di alam ghaib.


Berlalu tahun ke tahun dan keluar generasi demi generasi kepada kewujudan secara berterusan, kemudian mereka saling meninggalkan antara satu sama lain. Maka berakhirlah umur-umur sebagaimana berakhirnya perhitungan tahun. Lalu berpindahlah manusia daripada tempat beramal ke tempat pembalasan.


Setiap seorang daripada kita akan meninggalkan kesemua yang dicintai yang diambil berat supaya terus kekal bersamanya. Segala miliknya di dunia pasti ditinggalkan. Firman Allah SWT:


{وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُمْ مَا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ وَمَا نَرَى مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمْ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ لَقَدْ تَقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُمْ مَا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ}(الأنعام/94).


[6.94] Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).


Hukum lampau sama ada ke atas raja-raja, pemerintah-pemerintah, fakir miskin, daripada makhluk Allah SWT di atas muka bumi adalah secara sama rata. Tiada seorang yang terkecuali walau sekuat mana sekali pun, sebanyak mana harta dan juga setinggi mana pangkat yang disandangi. Allah merupakan yang Maha Berkuasa memaksakan kematian ke atas mereka serta menghadapkan mereka kepada-Nya untuk dihisab. Firman Allah SWT:



{إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ }(الغاشية/25).

{ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ }(الغاشية/26).


[88.25] Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

[88.26] Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.


Apabila nyawa telah sampai di halkum, kita akan mengetahui hakikat dunia dan nilainya. Pada saat itu, kita akan mengetahui bahawa perkara paling penting yang mesti diambil berat secara serius, menjuruskan segala kehidupan adalah semata-mata kerananya dan mati pula adalah untuknya, ia adalah merupakan urusan yang terhasil dengan menyedari juga melaksanakan hikmah daripada kewujudan kita dalam kehidupan.


Demikianlah urusan yang paling besar, sesungguhnya kita telah diciptakan supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita diciptakan untuk melaksanakan kehendak-Nya melalui kewujudan di dunia ini.


Semasa nazak, kita akan bertanya kepada diri sendiri, adakah aku telah memanfaatkan daripada kehidupan yang telah berlalu? Adakah aku telah memanfaatkan hari-hari, malam-malam, dan tahun demi tahun? Adakah aku telah bersedia untuk bertemu Tuhanku atau pun aku telah berpaling, lupa, buat-buat lupa, mengikut hawa nafsu syahwat, menyimpang daripada urusan yang sangat penting yang kerananya aku dicipta?


Sedangkan sekarang ini, sedang menuju ke tempat dihitung amalan. Setiap sesuatu di dunia dan benda-benda yang Allah telah kurniakan adalah bertujuan untuk pengabdian kepada-Nya. Kita mestilah menjadikan (kurniaan tersebut) tunduk kepada perintah Allah SWT agar kita tidak keluar daripada dunia ini kecuali kita telah melaksanakan perintah Tuhan Penguasa alam. Firman Allah SWT:



{قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(الأنعام/162).

{لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ}(الأنعام/163).


[6.162] Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[6.163] Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".


Kita tidak akan menyekutukan bersama Allah sesuatu pun di dalam ibadat. Allah yang Esa menciptakan kita, memberi rezeki, menciptakan kesemua makhluk, maka hanya Dialah yang layak disembah tanpa disekutukan dengan-Nya sesuatu pun.


Sunday, September 13, 2009

Laut Dalam

Assalamualaikum! Selamat bertemu kembali...

Insya Allah pada kali ini, tim Mukjizat Saintifik akan membincangkan tentang lautan dalam dan kegelapan lautan. Ia merupakan satu tempat yang mustahil bagi mana-mana manusia pada zaman Nabi Muhammad S.A.W untuk sampai ke dasarnya.

Ini kerana tubuh manusia tidak akan mampu untuk menyelam di dalam air tanpa bantuan alatan kecuali sedalam 30 meter sahaja lebih kurang. Pada kedalaman ini, tubuh manusia akan menghadapi tekanan udara 4 kali ganda daripada tekanan udara biasa yang menyebabkan gas nitrogen melarut di dalam darah dan memberi kesan terhadap tubuh seterusnya penguasaan terhadap tubuhnya akan hilang lalu melonjakkannya ke permukaan.

Jadi, termasuk dalam perkara yang mustahil untuk manusia sampai dengan tubuhnya tanpa bantuan peralatan pada kedalaman 100 meter atau 200 meter. Sememangnya, pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Ilmu Samudera (Oceanography) dikuasai cerita-cerita dongeng dan kepercayaan karut dan Nabi Muhammad S.A.W sendiri berada di dalam masyarakat padang pasir dan tidak pernah belayar di lautan seumur hidup Baginda.



Ikuti entri seterusnya...

Friday, May 15, 2009

Tanda dan Bukti Kerasulan (Mukjizat)

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Kali ini tim Mukjizat Saintifik akan membincangkan tentang tanda-tanda dan bukti-bukti kerasulan yang merupakan satu sempadan pemisah di antara Rasul yang benar dan orang-orang yang berdusta.

Allah telah menjadikan bukti-bukti dan mukjizat-mukjizat sebagai penyaksian daripada-Nya yang membuktikan kerasulan supaya manusia tidak dapat membohongi mereka. Firman Allah Taala :

رُسُلاً مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ِلأَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (النساء/165)

Rasul-rasul (yang Kami telah utus kan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutus kan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [An-Nisaa' : 165]

Seseorang Rasul akan mencabar kaumnya supaya mendatangkan sesuatu yang sama dengan apa yang telah mereka perlihatkan daripada mukjizat-mukjizat yang melemahkan manusia di hadapan nya. Lalu mereka tunduk kepada bukti kerasulan tersebut dan mukjizatnya seterusnya mereka tahu bahawa dia adalah utusan Allah pencipta mereka.

Sebagai contoh, Allah telah menceritakan dalam al-Quran tentang kisah Nabi Musa dan Firaun. Allah mengutus kan Nabi Musa untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun. Allah memberikan bukti-bukti dan dalil-dalil yang berupa mukjizat kepada Nabi Musa suatu perkara seumpama sihir tetapi bukan sihir kerana kepakaran tukang-tukang sihir Firaun adalah dalam bidang sihir. Firman Allah Taala:


{فَأَلْقَى مُوسَى عَصَاهُ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ}(الشعراء/45).

{فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ}(الشعراء/46).

{قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ}(الشعراء/47).

{رَبِّ مُوسَى وَهَارُونَ}(الشعراء/48).


Terjemahan : Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud, Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, "Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun". [As-Syu'araa : 45- 48]

Mereka telah melihat bukti dan mukjizat baginda lantas beriman dengan Rasul dan mempercayainya. Jadi, mukjizat yang disaksikan menjadi bukti dan hujah untuk membangkitkan keyakinan dalam hati seterusnya mereka membina keimanan berupa keyakinan berdasarkan bukti mukjizat tersebut.Read more

Apakah bentuk mukjizat untuk kita pada zaman sains dan teknologi ini? Ikuti entri akan datang...