Saturday, July 10, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Jika ditanyakan kepada mana-mana individu apakah fungsi mata, telinga, akal, tangan, kaki dan kesemua anggota badan manusia, mereka akan menyatakan satu persatu fungsi anggota tersebut. Tidak ada sesuatu pun pada manusia daripada sel-sel yang seni sehinggalah kesemua anggota badan kecuali di sana ada tugas dan fungsi tertentu.


Persoalannya, kalaulah kesemua bahagian anggota itu mempunyai tugasan tertentu, maka apakah fungsi dan tugas manusia yang terdiri daripada anggota yang memang diketahui mempunyai tugas dan fungsi itu?


Bagi kita penganut Islam, jawapan kepada persoalan ini telah dijawab oleh Allah di dalam Al-Quran melalui dakwah para rasul. Tetapi kaum Kuffar apabila ditanya tentang hikmah kewujudan mereka di atas muka bumi, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.


Kita akan mendapati daripada mereka jawapan yang pelbagai. Tetapi kebanyakan mereka akan mengatakan kehidupan ini adalah setakat di dunia kemudian lenyap begitu sahaja. Apa yang menghairankan, orang kafir yang belajar ilmu kedoktoran yang mengetahui fungsi dan tugas setiap juzuk tentang diri manusia pun tetap tidak dapat menjawab apakah fungsi dan tugas seorang manusia secara keseluruhan!!!



Jikalau kita mengatakan kepada mereka, sesungguhnya para doktor kamu adalah sia-sia dalam kerjaya mereka, mereka pasti akan mengejek kata-kata ini dengan berkata: adakah sesuatu yang sia-sia bagi orang yang merawat penyakit pada mata , mulut, perut, hati, apabila ia diserang penyakit? Sesungguhnya para doktor kami lebih tinggi untuk dinisbahkan kepada mereka dengan sia-sia.



Kita mengatakan kepada mereka kembali: kamu benar. Sesungguhnya orang yang membaiki kerosakan, merawat penyakit pada anggota tidak melakukan kerja sia-sia. Akan tetapi, bagaimana pula sangkaan kamu terhadap Pencipta mata, mulut, perut, hati dan manusia itu sendiri? Adakah hanya sia-sia dalam ciptaan-Nya?



Sesungguhnya Allah SWT Maha Mulia dan Maha Tinggi untuk dinisbahkan kepada-Nya dengan sia-sia. Firman Allah SWT:



{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُونَ}(المؤمنون/115).


[23.115] "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Friday, July 2, 2010

Hikmah Penciptaan Manusia

Muqaddimah



Firman Allah SWT :



{وَالْعَصْرِ}(العصر/1).

{إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ}(العصر/2).

{إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ }(العصر/3).


[103.1] Demi Masa!

[103.2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

[103.3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.



Allah SWT bersumpah dengan masa yang merupakan salah satu makhluk-Nya. Kita sekarang berada di penghujung tahun sama ada Hijrah atau Masihi. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut tahun baru dan meninggalkan tahun yang telah berlalu. Dengan berlalunya tahun tersebut, maka berlalulah umur setiap manusia.


Sesiapa yang mempunyai kadar umur tertentu pada akhir tahun yang lepas, maka telah berkurangan daripada umurnya setahun. Sesiapa yang pada hari ini berada dalam umur remaja, ada yang berada dalam umur dewasa, di sana juga ada yang masih kanak-kanak, ada yang masih di peringkat janin dalam perut ibu seterusnya ada yang masih di alam ghaib.


Berlalu tahun ke tahun dan keluar generasi demi generasi kepada kewujudan secara berterusan, kemudian mereka saling meninggalkan antara satu sama lain. Maka berakhirlah umur-umur sebagaimana berakhirnya perhitungan tahun. Lalu berpindahlah manusia daripada tempat beramal ke tempat pembalasan.


Setiap seorang daripada kita akan meninggalkan kesemua yang dicintai yang diambil berat supaya terus kekal bersamanya. Segala miliknya di dunia pasti ditinggalkan. Firman Allah SWT:


{وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُمْ مَا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ وَمَا نَرَى مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمْ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ لَقَدْ تَقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُمْ مَا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ}(الأنعام/94).


[6.94] Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).


Hukum lampau sama ada ke atas raja-raja, pemerintah-pemerintah, fakir miskin, daripada makhluk Allah SWT di atas muka bumi adalah secara sama rata. Tiada seorang yang terkecuali walau sekuat mana sekali pun, sebanyak mana harta dan juga setinggi mana pangkat yang disandangi. Allah merupakan yang Maha Berkuasa memaksakan kematian ke atas mereka serta menghadapkan mereka kepada-Nya untuk dihisab. Firman Allah SWT:



{إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ }(الغاشية/25).

{ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ }(الغاشية/26).


[88.25] Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

[88.26] Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.


Apabila nyawa telah sampai di halkum, kita akan mengetahui hakikat dunia dan nilainya. Pada saat itu, kita akan mengetahui bahawa perkara paling penting yang mesti diambil berat secara serius, menjuruskan segala kehidupan adalah semata-mata kerananya dan mati pula adalah untuknya, ia adalah merupakan urusan yang terhasil dengan menyedari juga melaksanakan hikmah daripada kewujudan kita dalam kehidupan.


Demikianlah urusan yang paling besar, sesungguhnya kita telah diciptakan supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita diciptakan untuk melaksanakan kehendak-Nya melalui kewujudan di dunia ini.


Semasa nazak, kita akan bertanya kepada diri sendiri, adakah aku telah memanfaatkan daripada kehidupan yang telah berlalu? Adakah aku telah memanfaatkan hari-hari, malam-malam, dan tahun demi tahun? Adakah aku telah bersedia untuk bertemu Tuhanku atau pun aku telah berpaling, lupa, buat-buat lupa, mengikut hawa nafsu syahwat, menyimpang daripada urusan yang sangat penting yang kerananya aku dicipta?


Sedangkan sekarang ini, sedang menuju ke tempat dihitung amalan. Setiap sesuatu di dunia dan benda-benda yang Allah telah kurniakan adalah bertujuan untuk pengabdian kepada-Nya. Kita mestilah menjadikan (kurniaan tersebut) tunduk kepada perintah Allah SWT agar kita tidak keluar daripada dunia ini kecuali kita telah melaksanakan perintah Tuhan Penguasa alam. Firman Allah SWT:



{قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(الأنعام/162).

{لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ}(الأنعام/163).


[6.162] Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[6.163] Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".


Kita tidak akan menyekutukan bersama Allah sesuatu pun di dalam ibadat. Allah yang Esa menciptakan kita, memberi rezeki, menciptakan kesemua makhluk, maka hanya Dialah yang layak disembah tanpa disekutukan dengan-Nya sesuatu pun.


Sunday, September 13, 2009

Laut Dalam

Assalamualaikum! Selamat bertemu kembali...

Insya Allah pada kali ini, tim Mukjizat Saintifik akan membincangkan tentang lautan dalam dan kegelapan lautan. Ia merupakan satu tempat yang mustahil bagi mana-mana manusia pada zaman Nabi Muhammad S.A.W untuk sampai ke dasarnya.

Ini kerana tubuh manusia tidak akan mampu untuk menyelam di dalam air tanpa bantuan alatan kecuali sedalam 30 meter sahaja lebih kurang. Pada kedalaman ini, tubuh manusia akan menghadapi tekanan udara 4 kali ganda daripada tekanan udara biasa yang menyebabkan gas nitrogen melarut di dalam darah dan memberi kesan terhadap tubuh seterusnya penguasaan terhadap tubuhnya akan hilang lalu melonjakkannya ke permukaan.

Jadi, termasuk dalam perkara yang mustahil untuk manusia sampai dengan tubuhnya tanpa bantuan peralatan pada kedalaman 100 meter atau 200 meter. Sememangnya, pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Ilmu Samudera (Oceanography) dikuasai cerita-cerita dongeng dan kepercayaan karut dan Nabi Muhammad S.A.W sendiri berada di dalam masyarakat padang pasir dan tidak pernah belayar di lautan seumur hidup Baginda.



Ikuti entri seterusnya...

Friday, May 15, 2009

Tanda dan Bukti Kerasulan (Mukjizat)

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Kali ini tim Mukjizat Saintifik akan membincangkan tentang tanda-tanda dan bukti-bukti kerasulan yang merupakan satu sempadan pemisah di antara Rasul yang benar dan orang-orang yang berdusta.

Allah telah menjadikan bukti-bukti dan mukjizat-mukjizat sebagai penyaksian daripada-Nya yang membuktikan kerasulan supaya manusia tidak dapat membohongi mereka. Firman Allah Taala :

رُسُلاً مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ِلأَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (النساء/165)

Rasul-rasul (yang Kami telah utus kan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutus kan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [An-Nisaa' : 165]

Seseorang Rasul akan mencabar kaumnya supaya mendatangkan sesuatu yang sama dengan apa yang telah mereka perlihatkan daripada mukjizat-mukjizat yang melemahkan manusia di hadapan nya. Lalu mereka tunduk kepada bukti kerasulan tersebut dan mukjizatnya seterusnya mereka tahu bahawa dia adalah utusan Allah pencipta mereka.

Sebagai contoh, Allah telah menceritakan dalam al-Quran tentang kisah Nabi Musa dan Firaun. Allah mengutus kan Nabi Musa untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun. Allah memberikan bukti-bukti dan dalil-dalil yang berupa mukjizat kepada Nabi Musa suatu perkara seumpama sihir tetapi bukan sihir kerana kepakaran tukang-tukang sihir Firaun adalah dalam bidang sihir. Firman Allah Taala:


{فَأَلْقَى مُوسَى عَصَاهُ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ}(الشعراء/45).

{فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ}(الشعراء/46).

{قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ}(الشعراء/47).

{رَبِّ مُوسَى وَهَارُونَ}(الشعراء/48).


Terjemahan : Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud, Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, "Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun". [As-Syu'araa : 45- 48]

Mereka telah melihat bukti dan mukjizat baginda lantas beriman dengan Rasul dan mempercayainya. Jadi, mukjizat yang disaksikan menjadi bukti dan hujah untuk membangkitkan keyakinan dalam hati seterusnya mereka membina keimanan berupa keyakinan berdasarkan bukti mukjizat tersebut.Read more

Apakah bentuk mukjizat untuk kita pada zaman sains dan teknologi ini? Ikuti entri akan datang...


Wednesday, June 18, 2008

Mukjizat Saintifik Al-Quran & As-Sunnah - Suatu Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mohon kemaafan dari tim kami kerana kesulitan untuk mengemas kini laman ini. Semoga Allah memberi taufik dan inayah kepada kita semua. Pada kali ini Mukjizat Saintifik akan mula membawa pembaca sekelian kepada topik sebenar kewujudan blog ini iaitu Membongkar Mukjizat Nabi. Sebelum itu ada baiknya kita mengetahui beberapa perkara bagi menambahkan lagi pemahaman kita terhadap mukjizat saintifik.

Allah telah menjadikan Agama sebagai wadah bagi menjelaskan kepada manusia pelbagai persoalan mengenai kehidupan dan matlamat kehidupan ini.Tanggungjawab menyampaikan Agama dan mengenalkan manusia dengan Penciptanya telah diberikan kepada wakil-wakil yang dipilih oleh Allah.Wakil-wakil Allah di muka Bumi adalah para Rasul -عليهم الصلاة والسلام- yang Allah wahyukan kepada mereka segala ajaran yang perlu disampaikan kepada manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (al-Nisa': 165)

Jadi, timbul persoalan sekarang bagaimanakah cara untuk kita mengenali utusan-utusan Allah?

Para Rasul yang diutuskan oleh Allah adalah manusia biasa seperti kita; mereka makan, minum, tidur, sakit dan berjalan seperti kita. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar," (al-Furqan: 20)

Manusia mempunyai kesukaran untuk patuh atau mempercayai sesuatu melainkan dengan bukti yang nyata. Tanpa bukti dan keterangan, dengan mudah manusia akan menolak untuk patuh dan taat.

Jika anda sedang memandu di jalan raya dan anda melihat tanda:

Lalu anda lihat salah seorang daripada dua orang yang di sebelah kiri dan kanan ini sedang menunggu, siapakah yang anda akan patuh dan mengapa???

Justeru itu Allah mengetahui para Rasul Nya akan didustai oleh manusia, maka Dia telah memperkuatkan mereka (para Rasul) dengan tanda-tanda untuk menjadi bukti bahawa mereka adalah utusan Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan" (al-Hadid:25)

Oleh itu, apakah tanda atau bukti yang menyatakan mereka adalah utusan Allah??? Tunggu siri yang akan datang...

Thursday, February 14, 2008

Matlamat Kehidupan - Siri Akhir

Assalamualaikum dan salam bahagia. Alhamdulillah kerana kesempatan dan ruang yang diizinkan oleh Allah kepada kami, maka dapatlah kami menyambung perbincangan yang berkisar kepada persoalan matlamat kehidupan.

Dari artikel-artikel lepas, kita mengetahui bahawa setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai tujuan dan matlamatnya. Dari seremeh-remeh benda hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Kita dapat mengetahui fungsi semut dan tujuan kehidupannya walaupun ia amat dibenci oleh suri rumah. Kita mula dapat memahami mengapakah lalang begitu galak tumbuh selepas hutan ditebas. Kita semua semakin menyedari kepentingan gunung berapi. Sistem tubuh manusia dalam anggota badan kita telah pun kita mengetahuinya secara umum. Hikmah puasa yang disyariatkan oleh Islam telah pun terbongkar. Kebenaran al-Quran pun telah terserlah. Persoalannya, hikmah dan matlamat kewujudan kita.

Kita semua telah meyakini bahawa kitab al-Quran adalah suatu kitab yang benar lagi suci dari segala kekurangan dan kesilapan. Namun ramai di kalangan kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang akan pemberitahuan Allah berkenaan dengan tujuan dan matlamat kehidupan manusia. Adakah kita semua pernah mengetahui akan ayat al-Quran yang bermaksud: walaupun letusannya menggerunkan hati.
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."!!!

Ya!!! Tujuan hidup kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan untuk beribadat kepada Allah. Ibadat??? Bagaimanakah cara beribadat? Adakah ibadat itu hanya yang asas sahaja?

Tunggu!!! Persoalan ini akan diungkap di siri akan datang...